Sepertimana yang telah diperkatakan sebelum ini bahawa proses kebangkitan Islam yang dijanjikan oleh Allah swt sering terhambat disebabkan oleh perbuatan umat Islam sendiri. Ada sesuatu yang dibenci oleh Allah swt, di antaranya adalah perpecahan dan permusuhan sesama umat Islam. Kesalahan ini merupakan antara dosa yang telah dan sedang menimbulkan kemurkaan Allah swt yang amat besar. Umat Islam hari ini mempunyai amalan keji yang amat tidak disukai Allah swt seperti amalan dusta dan fitnah serta kekerasan bagi tujuan menjatuhkan saudara seagamanya. Disamping itu, sebilangan umat Islam begitu mudah menggunakan kata-kata menyesat dan mengkafirkan kelompok Islam yang lain jika pendapat dan pandangan pihak lain tidak selari dengan pendapat dan pandangan mereka. Bagi memperkukuhkan dakwaan tersebut pelbagai fitnah direka-rekakan. Islam memandang keji terhadap fitnah memfitnah sehingga mengumpamakan dosa memfitnah itu lebih merbahaya daripada perbuatan membunuh, “... dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan...” (Al Baqarah : 192).
Sememangnya fitnah memfitnah merupakan senjata yang paling kotor kerana kemampuannya mengakibatkan pergaduhan, pembunuhan dan kerosakan yang tidak disenangi oleh Allah swt. Malah Nabi Muhammad saw juga pernah bersabda bahawadusta adalah ibu kepada kejahatan kerana satu dusta akan melahirkan lebih banyak dusta untuk menutupi dusta-dusta yang sebelumnya. Ini adalah di antara dosa-dosa umat Islam yang telah menimbulkan kemurkaan Allah swt kerana menyuburkan kebencian, prasangka buruk, permusuhan, ketidakadilan, penganiayaan dan kezaliman sesama Islam. Dosa ini yang menyebabkan permusuhan sesama Islam menjadi semakin besar dan telah menghalang umat Islam daripada bersatu, pada hal ajaran Islam telah meruntuhkan semua tembok pemisah bagi membentuk ukhuwah Islamiyah. Atas dasar itu, Allah swt memberi pelbagai perintah dan peringatan kepada umat Islam untuk menyelamatkan mereka daripada permusuhan sesama sendiri dan mengelakkan orang Islam menjadi pengikut kepada golongan yang dimurkai Allah swt.
Post A Comment:
0 comments: