
PETALING JAYA: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali menafikan dirinya memohon maaf kepada Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung kenyataannya mengenai konsep Negara Berkebajikan.
Lidah rasmi PAS Harakahdaily semalam melaporkan Hasan dalam pertemuannya dengan Nik Aziz, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Haron Din, bekas Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa di Kota Bharu kelmarin menarik balik kritikannya mengenai Negara Berkebajikan dan meminta maaf kepada pimpinan parti.
“Soal saya turun ke Kota Bharu untuk memohon maaf kepada pucuk pimpinan seperti yang dilaporkan oleh Harakahdaily dan dipetik oleh kebanyakan saluran media adalah tidak benar sama sekali.
“Saya terkilan dengan laporan Harakahdaily itu walaupun lidah rasmi parti tersebut kerapkali diingatkan supaya tidak memutarbelit fakta yang boleh menimbulkan keraguan dan perpecahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, beliau sebenarnya dijemput untuk menghadiri satu majlis mahabbah dengan tiga pemimpin terbabit di kediaman rasmi Nik Aziz di JKR 10 Kota Bharu.
Menurut Hasan, antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu termasuklah hala tuju parti, persediaan PRU ke 13, dan perjalanan Harakah sebagai lidah rasmi parti.
“Kami telah memberikan penjelasan, pandangan dan input untuk diberikan perhatian oleh pucuk pimpinan parti demi mengukuhkan perjalanan parti dan sokongan rakyat terhadapnya.
“Seperti yang dizahirkan oleh Mursyidul Am terhadap pertemuan mahabbah itu, saya juga ingin menzahirkan rasa terharu terhadap penghargaan yang ditunjukkan oleh pucuk pimpinan terhadap saya dalam meneruskan perjuangan memartabatkan Islam di negara kita,” katanya.
Nik Aziz dipetik Harakahdaily semalam berkata pihaknya yakin isu perbalahan antara pimpinan PAS kini tidak lagi boleh dijadikan isu oleh Umno kerana ruangnya sudah ditutup rapat.
Harakahdaily pertahan laporan maaf Hasan Ali
Sementara itu, lidah rasmi PAS Harakahdaily hari ini mempertahankan laporan mengenai kenyataan Nik Aziz tentang permohonan maaf Hasan Ali.
Sehubungan itu, Harakahdaily turut menyiarkan video temuramah Nik Aziz dengan beberapa pemberita di Pantai Irama, Bachok, Kelantan semalam sekaligus menafikan pihaknya memutarbelitkan laporan berita.
Tuan Guru Nik Aziz: Datuk Hassan Ali menarik balik kenyataan-kenyataan dia yang sensitif. Ini tanda kelelakian dia, anak jantan. Kita buat salah, bila kita sedar buat salah, tarik balik, minta maaf. Ini ajaran agama. Bukan senang manusia buat salah nak tarik balik, bukan senang. Tiba-tiba dia ni tarik balik. Kita ucap syukur, moga ramai lagi orang yang buat salah, tarik balik dan minta maaf.
Wartawan: Dari segi parti sendiri tok guru, terimalah?
Nik Aziz: Terimalah.
Wartawan: Pertemuan itu di mana Tok Guru?
Nik Aziz: JKR 10
Wartawan: Ustaz Nasha…
Nik Aziz: Saya beritahu kelmarin, kalau Datuk Seri Presiden tak buat jemputan macam ini, saya akan buat. Saya suka sangat. Kerana Islam ini, apabila kita dapat nikmat, kita diminta buat jamuan.
Macam kita nak kahwin. Apabila kita kahwin, kita buat jamuan nama dia walimatul urus. Bila kita dapat anak, kita buat jamuan lagi nama dia aqiqah.
Begitu jugak, bila berlaku macam tu kelmarin, kita buat jamuan, tetapi jamuan kelmarin tu sebagai jamuan tetamu ja. Kalau boleh, saya akan sebut buat jamuan khusus di peringkat pusat. Kita panggil semua kalau boleh.
Saya nak minta jugalah pihak parti PAS Pusat buat jamuan, kita pakat-pakat derma lah. Yang ada seringgit bagi seringgit yang ada seribu bagi seribu kerana gembira kita bahawa kekecohan yang berlaku di kalangan kita dah selesai.
Kekecohan ini, ada satu contoh yang diberikan oleh Datuk Presiden kelmarin. Semasa Nabi masuk ke Mekah, orang panggil Fathul Makkah. Ada seorang Sahabat sebut “kalimah Arab” – “Hari ini Hari Perang”.
Nabi kata tidak, “kalimah Arab” – “Hari ini hari kasihan belas”. Maka Nabi ambil bendera di tangan dia, beri kepada anak dia. Denda kerana celupar mulut dia. Jadi kalau orang zaman Nabi pun ada buat kesilapan dan Nabi betulkan cepat-cepat, inikan zaman kita tengah 2000 tahun, maka banyak benda-benda silap.
Wartawan: Tok guru, kedudukan Ustaz Nasha lepas ini, mungkin di Parlimen Bachok macamana Tok Guru?
Nik Aziz: Parlimen Bachok tu orang Bachok tengoklah.
Wartawan Harakah: Bila dia dah mari minta maaf, maknanya tidak ada peluang lagilah pihak lawan nak gunakan isu sebelum ini?
Nik Aziz: Ada peluang apa lagi lah…baik.
Post A Comment:
0 comments: