Seorang pemimpin wajib menyedari bahawa segala tanggungjawab yang dilaksanakannya bagi sebuah negara Islam adalah tertakluk kepada roh keislaman dan dia mesti berani menerapkan perlaksanaannya dalam semua institusi pemerintahan dan pentadbiran. Pemerintah yang diamanahkan kuasa kepadanya bertanggungjawab memastikan keamanan dapat dinikmati oleh rakyatnya. Agama Islam telah menetapkan pemimpin sebuah negara adalah sama seperti seorang pengembala yang mampu melindungi dan menjaga seluruh binatang ternakannya dari segala macam musibah dan bahaya, serta mampu menyediakan segala keperluan bagi menjamin kesejahteraan binatang ternakannya. Pengembala yang baik memastikan ternakannya tidak merayau-rayau tidak tentu arah, melindunginya dari ancaman serigala, memberi makanan dan kandang yang secukupnya dan melindunginya daripada wabak penyakit. Analogi seorang pemimpin dalam sesebuah negara Islam adalah seperti seorang pengembala yang menjamin seluruh rakyatnya bebas dari konflik, huru hara, gangguan dan penindasan, selamat dari ancaman dan serangan dari luar, menyediakan segala keperluan intelektual dan material. Untuk memastikan kemampuan seorang pemimpin benar-benar memenuhi kriteria seperti seorang pengembala dengan komitmen yang tinggi, Al Qur’an telah menetapkan garis panduan yang wajib dipatuhi dan disempurnakan.
Tidak pula kurang pentingnya, seorang pemimpin mestilah berjiwa rakyat dan rendah hati sepertimana yang dipercontohkan oleh Hazrat Umar ra. Dalam satu kejadian Hazrat Umar ra semasa era kekhalifahan beliau secara kebetulan melihat seorang ibu bersama tiga orang anak di luar kota Madinah tidak mempunyai bahan makanan selama dua hari. Dengan segera Hazrat Umar ra kembali ke Madinah untuk mengambil bahan keperluan makanan dengan memikulnya sendiri untuk diberikan kepada ibu tersebut. Seorang hamba memprotes agar dia sendiri yang memikul bahan makanan tersebut tetapi Hazrat Umar ra menolak sambil berkata, “Tidak dapat dinafikan engkau memang boleh mengangkat barang-barang ini tetapi siapa yang akan mengangkat beban saya di hari akhirat kelak?” Selanjutnya Hazrat Umar ra memikul bahan makanan itu sendiri dan memberikannya kepada ibu berkenaan sambil ibu tadi mengucapkan syukur di atas kebaikannya dan berkata, “Engkau lebih sesuai menjadi khalifah daripada Umar, dia tidak tahu tentang keperluan rakyatnya.” Hazrat Umar ra menjawab dengan lembut dan senyuman, “Baiklah ibu, mungkin Umar tidaklah seburuk seperti yang ibu sangkakan”. Masih adakah seorang pemimpin muslim seperti Umar ra?
Post A Comment:
0 comments: