Sudah dinyatakan bahawa tidak semestinya hudud itu perlu dilaksanakan sekaligus atau secara terus. Perlu ada perancangan dan perencanaan yang teliti dan rapi dibuat sebelum kita mahu melaksanakannya secara total di negara kita. Tidak boleh kalau kita perintah hari ni, terus laksana hudud sedangkan masih ramai lagi yang jahil dan belum memahami sepenuhnya mengenai hukum Allah yang maha adil ini.

Pelaksanaannya bukan boleh main-main atau untuk dijadikan modal politik. Ia berkaitan dengan pandangan masyarakat terhadap Islam itu sendiri. Jika pelaksanaannya gagal, maka tidak dapat tidak akan timbul salah faham di kalangan masyarakat bukan Islam dan Islam sendiri. Mereka mungkin beranggapan bahawa undang-undang Islam itu tidak adil dan kacau. Padahal hukum Islam itu memang perfect tetapi disebabkan implementasinya lemah dan tidak bijaksana maka ia akan mencacatkan matlamat perundangannya.

Pelaksanaan hudud bukan soal kewajipan seperti solat dan puasa. Ia berkenaan istitho‘ah, kemampuan pemerintah melaksanakannya mengikut kesesuaian zaman dan tempat, sama seperti kewajipan ibadat haji. Suasana persekitaran yang tidak sesuai tidak memungkinkan pelaksanaan sesuatu undang-undang hudud. Ini pernah disebutkan oleh Timbalan Mufti Kerajaan Kelantan, Datuk Shukri Mohamed.

Memang menjadi kewajipan pemerintah melaksanakan hudud sama seperti kewajipan ibadat haji itu sendiri. Menolak kewajipannya bererti kita terkeluar daripada akidah Islam dan dengan sendirinya dihukum murtad. Tidak melaksanakannya atau menangguhkannya itu lain cerita. Kalau ada pemerintah yang tak mahu laksana tapi tak mempertikaikan kewajipannya walaupun dilihat mampu melaksanakan sepenuhnya hukum tersebut, ia tak boleh dihukum murtad. Ia samalah dengan orang yang sudah mampu mengerjakan haji tetapi masih belum mahu menunaikannya, hukumnya berdosa besar.

Adapun mengenai menangguhkan atau melakukan pemeringkatan dalam pelaksanaan undang-undang Islam, ini tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Jika sesebuah negara itu masih belum mampu melaksanakannya ia tidak mengapa sama seperti hukum mengerjakan haji terbabit. Bahkan mengikut kaedah fiqh yang masyhur, “Setiap perkara yang membawa kepada suatu kesempurnaan suatu kewajipan, maka perkara tersebut menjadi wajib pula dihukumnya.” Wajib bagi pemerintah menerapkan pemahaman secara berperingkat dan membuat perencanaan sebelum melaksanakan hukum hudud itu.

Ini telah pun dilaksanakan oleh kerajaan kita dan ianya terbukti apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad, di mana beliau mengakui bahawa kerajaan telah pun menghubungi kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan satu model yang boleh dijadikan contoh untuk pelaksanaan hudud. Bagaimanapun, masih belum diterima sebarang respon daripada Arab Saudi. Melalui pendidikan, kita boleh lihat melalui matapelajaran Tamadun Islam yang diperkenalkan di peringkat pengajian tinggi dan penyusunan semula sukatan Pendidikan Islam di peringkat sekolah menengah.

Berkaitan pemeringkatan dalam pelaksanaan hudud ini, Dr. Yusuf Al Qardhawi ada membincangkan di dalam tulisan beliau. Kata beliau, pemeringkatan itu merupakan salah satu sunnah Allah di alam semesta dan di dalam syariah. Allah telah menentukan pelbagai perintah dan mengharamkan perkara yang haram secara berperingkat sebagaimana diwajibkan puasa, diharamkan arak dan seumpamanya.

Alangkah baiknya di sini apa yang dinyatakan oleh para ahli sejarah tentang Umar bin Abdul Aziz sewaktu beliau menjadi Khalifah, setelah manusia menyeleweng daripada manhaj al Khulafa’ ar Rasyidin, melakukan kezaliman, mencuaikan hak manusia dan melampaui hudud Allah.

Anaknya yang beriman lagi bertakwa bernama Abdul Malik datang menemui beliau dan berkata dengan penuh semangat, “Wahai ayahku, kenapa kamu lambat melaksanakan semua perkara ini? Demi Allah, saya tidak akan peduli sekiranya saya dan ayah mengelegak pada jalan Allah ini.”

Lalu bapa yang bijaksana ini menjawab, “Wahai anakku, sesungguhnya Allah telah mencela arak pada dan ayat dan mengharamkannya pada kali ketiga. Sesungguhnya aku bimbang untuk membawa manusia kepada kebenaran secara sekaligus lalu mereka menolaknya secara sekaligus juga.”

Jelas beliau berpandangan bahawa adalah suatu kebijaksanaan bersikap lemah lembut dan berperingkat dengan manusia sehinggalah mereka menerima kebenaran yang sepatutnya diterima.

Dalam masalah yang sama, Umar Abdul Aziz juga pernah berkata, “Sesungguhnya kaum kamu (Bani Umaiyah) telah mengikatkan perkara ini satu ikat demi satu ikat. Apabila kamu mahu memaksa mereka untuk menarik balik apa yang ada pada tangan mereka , maka saya tidak jamin mereka tidak akan menentang saya yang akan membanyakkan lagi pertumpahan darah. Demi Allah, runtuhnya dunia ini adalah lebih ringan bagi saya daripada ditumpahkan darah kerana saya! Tidakkah kamu redha sekiranya kamu datang pada setiap satu hari mendatangi ayah kamu melainkan kamu ini telah mematikan satu bidaah dan menghidupkan satu sunnah?”

Inilah dia pandangan realiti yang bijaksana yang diyakini, tetapi hendaklah difahami bahawa pemeringkatan (beransur-ansur) dalam pelaksanaan syariah bukanlah bererti membatalkan pelaksanaan hukum syariah atau menggantungkan pelaksanaannya hingga ke tempoh yang tidak ditetapkan. Bahkan ia sebenarnya bererti meletakkan perancangan rapi yang mempunyai peringkat yang telah ditetapkan bagi memindahkan masyarakat kepada Islam yang sebenar dengan memberikan keutamaan bagi sudut pendidikan, media massa dan thaqafah yang bekerja secara bekerjasama dan saling melengkapkan bagi membina manusia yang dikehendaki oleh Islam dan menyediakan suasana yang patut bagi memastikan seluruh syariat Islam itu dilaksanakan dengan jayanya.

Permulaan bagi itu semua ialah menghapuskan halangan di hadapan para pendokong Islam yang benar dalam bentuk individu dan kumpulan dan memberikan jaminan kebebasan yang perlu untuk mereka, supaya mereka dapat melaksanakan tugas mereka untuk berdakwah, memberikan kesedaran, pendidikan dan pembentukan diri. Ini semua adalah perkara yang paling utama.

Pemeringkatan yang perlu menurut Dr. Yusuf Al Qardhawi ialah dengan meletakkan matlamat di hadapan mata, berusaha keras untuk sampai kepadanya, tidak berlalu satu hari, sebagaimana yang dinyatakan oleh Umar bin Abdul Aziz, melainkan dia telah mematikan satu bidaah jahiliyah dan menghidupkan satu sunnah Islam.

“Ziad bin Hudair meriwayatkan bahawa Umar r.a. telah berkata kepadanya: Apakah engkau ketahui apa yang akan meruntuhkan Islam? Kata Ziad: Aku menjawab: Tidak! Beliau berkata: Islam diruntuhkan oleh kesalahan alim ulama dan perdebatan orang munafiq dengan al Kitab dan pemerintahan imam-imam yang menyesatkan.” (H/R Ad Darimi : Sahih)

“Janganlah seseorang itu menuduh seseorang yang lain dengan tuduhan kafir atau fasik, maka perbuatan itu akan kembali kepadanya sekiranya orang yang dituduh itu bukan seperti itu (bukan golongan kafir atau fasik).” [H/R Muslim dan Ahmad].

Wallahuallam.

http://umno-kselangor.blogspot.com/2011/09/soalan-yang-sering-ditanyakan.html
Axact

Axact

Vestibulum bibendum felis sit amet dolor auctor molestie. In dignissim eget nibh id dapibus. Fusce et suscipit orci. Aliquam sit amet urna lorem. Duis eu imperdiet nunc, non imperdiet libero.

Post A Comment:

0 comments: