PETIKAN DARI BUKU “Nasib Tokoh-tokoh
Suci Di Tangan Ulama”
Penyimpangan Dari Al Quran dan Sunnah Rasul
Dakwah yang disampaikan oleh para utusan dan wali-wali suci Allah swt sememangnya sentiasa ditentang dan di peringkat awal tidak mendapat tempat di hati majoriti masyarakat di mana mereka diutus. Tentangan hebat diiringi penganiayaan zalim dan kejam merupakan dugaan yang amat hebat yang wajib ditempuhi sebelum kebenaran yang menjadi misi utama menjadi nyata dan menjadi ikutan. Tidak pernah tertulis dalam sejarah kemanusiaan sebelumnya betapa berat kezaliman yang dipikul oleh Rasulullah saw bersama para sahabat disebabkan mereka menunaikan tanggungjawab demi menegakkan kebenaran akan ketauhidan Allah swt. Fenomena ini akan terus berlarutan hingga dunia kiamat, selagi ada kebenaran yang perlu ditegakkan, selagi itu ada tentangan dan kezaliman.
Umat Islam sudah lama menyimpang dari ajaran Al Quran dan sunnah Rasulullah saw yang sebenar, sehingga lahir pelbagai mazhab di kalangan umat Islam yang tidak pernah disentuh oleh Rasulullah saw di zaman hidupnya. Allah swt tidak akan membiarkan agama Islam berada dalam keadaan kucar-kacir seperti hari ini. Allah swt akan mengutus para utusan dan waliNya untuk menegakkan kembali kesucian agama Islam. Namun tidak akan dapat dielakkan bahawasanya sejarah akan terus berulang. Manusia-manusia jahil yang menganggap diri mereka pejuang kebenaran dan keadilan tetap akan bangkit dengan membuta tuli menentang dengan segenap kekuatan untuk membanteras para utusan dan wali suci Allah swt. Ketamakan kuasa, kedudukan, harta dan bermacam sifat kepentingan diri telah menjadi benteng kepada penglihatan mereka dalam menilai kebenaran sejati. Atas dasar inilah ramai orang-orang suci pilihan Tuhan menjadi korban mereka yang dianggap oleh masyarakat sebagai ulama. Orang-orang suci tersebut dilabel sebagai sesat, murtad dan kafir dan ada pula yang disiksa dan dibunuh hanya disebabkan kebenaran dari Allah swt yang hendak ditegakkan berbeza dari amalan biasa yang sedang menular seperti wabak penyakit dalam masyarakat. Perhatikan beberapa senarai nama orang-orang suci yang ditentang dan dijadikan korban oleh para ulama, sebelumnya mereka dihina dan dikeji tetapi pada masa ini mereka diiktiraf sebagai orang-orang benar dan kini disanjung tinggi.
Abad Pertama Hijrah
Asadullah, Sayyedina Ali ra
(Syahid 40 Hijrah)
Hazrat Ali ra juga telah dituduh sesat. Beliau telah diisytiharkan murtad oleh puak Khawarij semasa peperangan Siffin apabila beliau mewakilkan Abu Musa Ash’ari sebagai seorang penimbang tara untuk pihaknya.
Ibn-i-Taimiya telah meriwayatkan bahawa:
“Semua orang-orang Khawarij telah sepakat mengisytiharkan beliau sebagai sesat dan kafir.” (Minhaaj-us-Sunnat-un-Nabawiyah : jilid 3: m.s. 3: edisi pertama : Mesir)
Dengan itu Hazrat Ali telah syahid di tangan puak Khawarij tersebut, “Semoga Tuhan memberkati mereka ini yang mencintaiNya dengan meninggalkan contoh yang terbaik, yang berguling di atas tanah berlumuran dengan darah sendiri.”
Putera Para Syahid, Hazrat Imam Hussain ra
(Lahir 4 Hijrah, syahid 61 Hijrah)
Cucunda Rasulullah saw dan anak kepada Saidatina Fatimah ra adalah orang pertama dari keturunan Rasulullah saw yang dituduh sesat oleh para ulama dan akhirnya dibunuh. Adalah dilaporkan bahawa apabila Yazid mengarahkan para ulama beliau untuk menyiapkan satu fatwa murtad ke atas Imam Hussain, mereka sebagaimana ulama-ulama pada masa sekarang dengan cepat mengeluarkan fatwa tersebut. Kemudian Yazid, atas kekuatan fatwa tersebut, telah menyebabkan Imam yang mulia ini bersama keluarga dan pengikut-pengikutnya tidak memperolehi makanan dan minuman buat beberapa hari dan akhirnya Imam Hussain disyahidkan di padang Karbala. (Afzal-ul-‘Amaal Fi Jawaab Nataaej-ul-‘Amaal : m.s. 22).
Aqaae Haji Mirza Hassan telah menulis:
“Kaum Khawarij telah mengisytiharkan fatwa murtad ke atas Hazrat Ali tetapi Putera Para Syahid (iaitu Imam Hussain) mendapat kelebihan yakni seratus orang qadi dan mufti mahkamah Bani Umayyah telah menandatangani dan menurunkan mohor mereka masing-masing ke atas dokumen yang mengisytiharkan Imam Hussain sebagai murtad. Keputusan tersebut diketuai oleh Qadi Shureeh. Beliau telah dipanggil oleh Ibn-i-Ziyaad, Gabenor Basra yang menuntut qadi tersebut supaya mengeluarkan fatwa murtad terhadap Imam yang mulia itu. Mendengar perintah itu, qadi tersebut mengangkat pemegang pena dan dakwat lalu mengetuk kepalanya sendiri dengan perasaan geram dan terus keluar dari mahkamah menunjukkan bahawa dia tidak dapat melakukan perkara yang hina itu.
Pada malamnya Ibn-i-Ziyaad telah menghantar beberapa uncang wang emas ke rumah qadi tersebut. Pada keesokan paginya qadi tersebut telah datang ke mahkamah dan sekali lagi Gabenor itu telah menanyakan mengenai keputusan qadi itu dan beliau menjawab, “Yang berhormat, semalam saya telah memikirkan perkara ini sedalam-dalamnya dan telah mencapai satu keputusan bahawa Imam Hussain memanglah tidak ragu lagi seorang yang murtad” dan menulis keputusan hukuman mati ke atas Imam Hussain itu dengan penanya dan di bawah mohornya sendiri seperti berikut :
“Adalah didapati bahawa Hussain bin Ali telah terkeluar dari Islam dan atas sebab itu beliau dijatuhkan hukuman mati..” (Jawaahar-ul-Kalaam : m.s. 88 : edisi 1962 Hijrah : Matba Ilmi, Tabrez, Iran).
Mengenai Imam ini, seorang suci telah menulis:
“Hussain ra adalah seorang yang suci dan tidak diragukan sedikitpun bahawa beliau adalah di antara mereka yang Allah telah sucikan dengan tanganNya sendiri dan telah dipenuhkan beliau dengan kecintaanNya. Tanpa ragu-ragu lagi Imam Hussain adalah di antara penghulu-penghulu di Syurga dan untuk merasakan sedikit kebencian terhadap beliau pun akan menghancurkan keimanan seseorang. Imam yang mulia ini menjadi satu contoh mengenai ketaqwaan, kecintaan kepada Tuhan dan kesabaran serta keteguhan, kesetiaan dan sifat rendah diri. Sudah tentu kita adalah di kalangan orang-orang yang mengikut petunjuk yang diberikan kepada beliau. Hati yang mempunyai kebencian terhadap beliau tidak ragu lagi akan hancur; dan hati yang mempunyai kecintaan terhadap beliau yang mana kualiti-kualiti mulia seperti keimanan, akhlak yang tinggi, keberanian, ketaqwaan, keteguhan dan kecintaan kepada Allah s.w.t. dibayangkan seperti satu imej di cermin, akan mencapai tujuan yang mulia. Manusia seperti Hussain tetap tidak dapat dilihat oleh orang-orang keduniaan. Siapakah yang dapat menghargai nilai mereka yang sebenarnya, kalau bukan mereka yang bersifat seperti beliau? Mata-mata dunia tidak dapat mengenali mereka kerana mereka adalah terlalu jauh dari dunia yang materialistik. Sebab sebenar kesyahidan Hussain adalah kerana dunia tidak mengenali beliau (semoga Allah s.w.t. merahmatinya). Tetapi bilakah dunia pernah benar-benar mengakui orang-orang yang soleh dan orang-orang yang dipilih Tuhan agar Hussain juga dapat dicintai?” ('Badar', 13 hb Oktober,1905).
Abdullah Ibnu Abbas
(Lahir 3 Hijrah, wafat 68 Hijrah)
Terkenal sebagai seorang ilmuwan yang pintar dan pentafsir Al-Quran yang sahih. Beliau adalah sahabat Rasullulah saw yang terkenal dan Rasulullah saw telah menggelarnya “Pentafsir Al-Quran”. Sejarah Islam mencatatkan beliau sebagai mangsa ulama pada zaman itu. Tetapi beliau tidak mempedulikan mereka malah meneruskan tugas-tugasnya untuk meraih keridhaan Allah s.w.t. Beberapa orang fuqaha pada masa itu telah menuduh beliau sesat dan kafir. (Majalah mingguan “Khursheed : Sandela : 25hb Feb.1938).
Abad Kedua Hijrah
Imam Abu Hanifa
(Lahir 80 Hijrah, wafat 150 Hijrah)
Pengasas mazhab Hanafi dan tidak dinafikan lagi seorang ahli fiqh yang amat cemerlang. Pengikut-pengikutnya adalah golongan yang paling ramai dalam Islam, menunjukkan betapa tinggi status beliau di kalangan orang-orang Islam.
Maulana Abul Kalaam Azaad sambil merujuk kepada “ Majalis-ul-Momineen,” telah menulis:
“Surat ini telah jatuh ke tangan Mansur Waaneeqi yang menyebabkan ia memusuhi Imam itu. Dia telah menyiksa Imam itu sehingga beliau meninggal dunia. Orang ramai akan terkejut dan merasa kecewa apabila membaca atau mendengar tentang perkara-perkara dahsyat yang telah dilakukan ke atas perlakuan yang begitu teruk sekali terhadap hamba Allah yang taat dari keluarga Rasullulah ini. Qadi Nur Ullah Shustari telah berkata, “Shah Ismail mengarahkan makam Abu Hanifa di Kufah digali kembali dan tulang-tulangnya dibakar dan sebaliknya seekor anjing ditanam di makam tersebut. Beliau telah mengarahkan tempat tersebut dijadikan tandas awam di kota Baghdad”.
Maulvi Abu-ul-Qaasim dari Benaras telah menulis buku bertajuk “Pemeriksaan Balas Terhadap Abu Hanifa”. Beberapa petikan dari buku ini dimasukkan ke dalam buku “Abaateel-i-Wahhabiya”. Antara lain terkandung dalam buku tersebut:
Abu Hanifa adalah pengasas perzinaan dan oleh itu adalah seorang yang sesat.
Abu Hanifa seorang murtad Murjiah dan Johniya dan seorang Murjiah adalah terkeluar dari bayangan Islam. Oleh itu semua pengikut Hanafi adalah juga terkeluar dari bayangan Islam.
Abu Hanifa adalah “Tanduk Syaitan”.
Abu Hanifa dengan terbuka telah menyanggahi Al-Quran.
Abu Hanifa seorang penderhaka dan kematiannya dalam kederhakaan.
Tarikh kematian Abu Hanifa mengikut “Abjad” adalah “SAG” (anjing),
Tiada orang yang terhina dalam Islam lebih dari Abu Hanifa (mukasurat 17 - Pemeriksaan Balas Terhadap Abu Hanifa”).
Mengikut Maulana Shibli Nomaani, Hazrat Imam Abu Hanifa r.a telah dipenjarakan dan diracun semasa dalam penjara tersebut. Apabila beliau sedar bahawa beliau telah diracun dan merasai racun tersebut berjalan di saluran darah, beliau jatuh sujud ke lantai dan meninggal dalam kedudukan itu (Seerat-al-No’maan oleh Shibli m.s. 63 dan Taareekh-ul-Khulafa, m.s. 141 dan Tatheer-ul-Auliya oleh Mir Mudathar Shah Gilani, m.s. 13-14)
Dalam salah satu surat Nawab Muhsin-ul-Mulk tertulis:
“Apa yang telah dilakukan terhadap Abu Hanifa oleh orang-orang yang berfikiran sempit itu adalah terlalu memalukan dan sesiapapun akan merasa malu untuk menulis mengenai perkara ini. Sesetengah mereka memanggil beliau jahil; yang lain pula menuduh beliau seorang pembohong dan ada juga yang mengisytiharkan beliau seorang murtad”.(Lahore Weekly: Julai 1974:m.s.10)
Imam Malik bin Anas
(Lahir 93 Hijrah, wafat 179 Hijrah)
Seorang Wali Allah dan ahli fikir yang masyhur dan beliau amat menyayangi Rasulullah saw. Pada zamannya tiada tandingan dalam ketaqwaannya dan beliau begitu taat mengamalkan Sunnah Rasulullah saw. Beliau adalah penulis buku yang terkenal “Mo’atta” yang merupakan koleksi hadis-hadis sahih. Konsep-konsep beliau menjadi sangat popular di Sepanyol dan di negara-negara Afrika Utara. Telah diriwayatkan dalam biografinya:
“Apabila Ja’afar pergi ke Madinah, dia telah memaksa orang ramai untuk mengambil bai’at di tangannya. Dia memanggil Imam Malik untuk datang mengadapnya dan mengarahkan beliau supaya jangan membuat kenyataan kepada orang ramai mengenai kesahan “cerai paksaan”. Tetapi Imam Malik bukanlah seorang yang boleh dipujuk atau dipaksa untuk membuat sesuatu yang bertentangan dengan ajaran sebenar Al-Quran dan sebaliknya beliau terus menyampaikan apa yang benar. Melihat ini Suleman terus naik berang dan mengarahkan Imam Malik dibawa ke Mahkamah seperti seorang penjenayah, pakaiannya dikoyak dan dihukum 70 kali sebat di belakangnya. Belakangnya mengalami luka teruk dan kedua-dua tangannya ditarik sehingga terkehel. Walaupun begitu penzalim ini masih tidak berpuashati, arahan dikeluarkan agar Imam Malik diarak mengelilingi bandar di atas seekor unta. Semasa duduk di atas unta tersebut beliau mengucapkan kepada orang ramai, “kamu yang mengenaliku, fahamilah pandanganku, tetapi sesiapa yang tidak mengenaliku, dengarlah aku. Aku adalah Malik, anak Anas dan aku mengisytiharkan bahawa “cerai paksaan adalah tidak sah dan tidak mengikut hukum”.
Imam tersebut kemudian pergi ke masjid suci Nabi Muhammad saw dengan bajunya yang berlumuran darah, lalu menunaikan solat dua raka’at. Dan beliau memalingkan mukanya ke hadapan orang ramai yang hadir di situ sambil berkata, “Bila Saeed anak Musayyab disiksa seperti saya, beliau juga datang ke masjid ini dan menunaikan solat. Saya juga mengerjakan seumpamanya.” Penyiksaan ini dibuat ke atas Imam tersebut untuk menjatuhkan maruah beliau di mata masyarakat. Tetapi akibatnya adalah berlawanan sama sekali. Orang ramai mulai menghormati beliau dengan penuh kebanggaan. Kejadian ini berlaku pada tahun 147 Hijrah”. (Seerat-I-A’emma Arb’ah oleh S.Raees Ahamad Jaffari: m.s. 293-294: edisi 1955).
Abad Ketiga Hijrah
Imam Syafie
(Lahir 150 Hijrah, wafat 204 Hijrah)
Terkenal dengan ketinggian ilmunya, beliau setaraf dengan ulama-ulama Islam terkemuka pada zamannya. Ilmunya mengenai hadis dan fiqh amat luarbiasa dan kitabnya “Kitaab-ul-Umm” amat unik. Dalam masa begitu lama, agama resmi Mesir adalah berdasarkan kepada konsep-konsep yang telah diterjemahkan oleh beliau. Oleh sebab kejahilan dan fanatisme para ulama pada masa itu, beliau juga terpaksa menghadapi tuduhan-tuduhan yang berat. Namun beliau tetap teguh dan tidak berganjak dari prinsipnya. Dengan muka yang selalu tersenyum beliau menghadapi segala cubaan. Adalah diriwayatkan para mullah pada waktu itu telah melabelnya, “beliau adalah lebih berbahaya daripada Iblis”. Beliau telah dituduh membiarkan Shi’ah dan pandangan itulah yang menyebabkan beliau dipenjara. Ulama-ulama Iraq dan Mesir sangat menentang beliau dan disebabkan tuduhan-tuduhan mereka beliau telah dibawa dari Yaman ke Baghdad. Perjalanan yang memalukan ini dipenuhi dengan kesusahan dan penghinaan bagi Imam yang dihormati ini. Beliau telah dihujani berbagai ejekan, kata-kata pedas dan maki hamun. Semasa dalam perjalanan orang ramai telah mengejek beliau dan hamba pilihan Allah ini mendengarnya dengan sabar. (Harba-i-Takfeer : m.s.23, cetakan 9hb April, 1933) .
Imam Ahmad Bin Hanbal
(Lahir 164 Hijrah, wafat 241 Hijrah)
Imam Ahmad bin Hambal adalah salah seorang yang mempunyai kedudukan yang amat tinggi sepanjang zaman. Imam Syafie mengiktiraf beliau sebagai seorang ulama yang paling tinggi darjatnya dan pakar dalam bidang hadis, falsafah, bahasa dan seorang penafsir Al-Quran yang agung. Beliau juga merupakan seorang sufi yang sangat alim (Tabqaat-ul-Hambalia Li Ibn-I-Abi Y’alaa).
Imam yang berilmu tinggi, bijaksana dan wali yang tidak asing lagi di zamannya ini, juga terpaksa berhadapan dengan para ulama yang berfikiran sempit. Beliau terpaksa membuktikan dirinya sebagai seorang Muslim yang sejati sehingga para ulama tersebut berpuas hati. Para ulama berfikiran sempit ini berusaha bersungguh-sungguh agar dapat membawa beliau ke arah pemikiran mereka tetapi beliau tidak berganjak sedikit pun dan tetap dengan pentafsiran-pentafsiran beliau yang logik.
Maulana Raees Ahmad Jaffri telah menulis mengenai Imam yang terhormat ini:
“Keimanan yang dibawa oleh Rasulullah saw untuk dunia ini sekarang memerlukan pengorbanan yang baru dan Imam yang dihormati itu sahajalah yang merupakan korban yang sesuai. Kerana beliau sebagai raja rohaniah pada zaman itu, beliau tidak akan tunduk kepada raja, pembesar dan ulama-ulama yang suka membodek raja-raja mereka. Untuk menegakkan ajaran Al-Quran sebenar dan menunjukkan jalan yang betul bagi umat yang akan datang, beliau berani mencela di antara keimanan sebenar dan pandangan sempit para ulama yang mengaku pandai serta berkuasa di mahkamah. Imam yang terpuji itu bertindak selaras dengan ayat Al-Quran, “Maka hendaklah engkau bersabar seperti para rasul yang memiliki keteguhan hati, memiliki kesabaran” (46:36). Oleh itu dengan tegasnya menentang kumpulan tersebut.
Beliau telah dilemparkan ke dalam penjara dan diikat dengan empat rantai besi yang berat. Beliau telah dibawa dari Tarsus ke Baghdad dengan berjalan kaki. Beliau hanya dapat bergerak dengan kepayahan yang amat sangat dan tiada siapa pun yang menaruh kasihan ke atas beliau. Dalam bulan Ramadhan, semasa beliau berpuasa, beliau telah diletakkan di bawah matahari terik dan tanpa baju belakangnya disebat dengan tidak berperikemanusiaan. Adalah diriwayatkan bahawa apabila satu tukang sebat keletihan akan diganti dengan tukang sebat yang lain untuk menyambung siksaan tersebut. Setiap kali sebatan mengenai belakang, Imam itu berkata, “Al-Quran bukanlah suatu ciptaan yang sama dengan makhlukNya yang lain”,- yang menjadi perkara yang dipertikaikan. Perlu diingat bahawa peristiwa penyebatan itu telah dilakukan pada sepuluh hari terakhir dalam bulan suci Ramadhan. Imam itu sendiri telah menceritakan kemudiannya bahawa mereka telah memukul beliau tanpa belas kasihan sedikit pun sehingga keadaan sahaja mengasihani beliau di mana beliau terjatuh dan tidak sedarkan diri”. (Seerat-i-Aemma Arb’ah: m.s. 613-615)
Imam Bukhari
(Lahir 195 Hijrah, wafat 256 Hijrah)
Seorang pengumpul dan penyusun hadis-hadis Rasulullah saw yang agung. Kitab beliau “Sahih Bukhari” adalah kitab yang tiada bandingnya dan diakui sebagai kitab yang paling sahih selepas Al-Quran. Walaupun mempunyai ilmu dan ketaqwaan yang tinggi, namun para ulama pada masa itu telah berusaha dan berjaya sehingga menyebabkan beliau dibuang negeri dan juga diisytiharkan murtad.
Seorang ulama terkenal, Al-M’otasim Billah Safi Ullah, telah menyatakan:
“Mereka mengusirnya dari Bukhara dan telah menghantarnya ke Khartang. Namun di Khartang pun beliau tidak aman. Di sana tiga ribu orang terkutuk mereka-cipta berbagai bukti bahawa Imam tersebut murtad. Ditenggelamkan sedemikian dalam lautan kebencian dan permusuhan dan beliau tidak melihat peluang untuk melepaskan diri, beliau telah berdoa kepada Allah dengan memohon, “Ya Tuhanku Penyelamat hamba-hambaNya, Engkaulah saksi terhadap perbuatan orang-orang yang salah serta terpesong ini terhadap diri ku. Mereka telah membuat ku tidak dapat bergerak dalam duniaMu yang luas ini. Engkaulah Pencipta dan Tuhan segala yang wujud, berilah aku tempat yang dekat denganMu”. Doa yang bersemangat ini telah diterima dan tidak lama kemudian para malaikat telah mengambil roh beliau dan membawanya ke tempat yang telah ditentukan untuk sahabat-sahabat Tuhan yang terpilih”. (Nazm-ud-Durr, Fin Silk-us-Seer : m.s. 167).
Abad Keempat Hijrah
Imam Nisaaee
(Lahir 215 Hijrah, wafat 303 Hijrah)
Dalam satu perhimpunan Hazrat Imam Nisaaee menjelaskan dengan mendalam kedudukan Saidina Ali ra iaitu menantu serta sepupu Rasullulah saw. Beliau telah cuba meyakinkan para pendengar dengan menyatakan bahawa Saidina Ali ra mempunyai tempat yang terhormat di kalangan para sahabat dan juga pada pandangan Rasulullah saw. Sebahagian daripada anggota perhimpunan tersebut telah naik marah lalu bangun dan memukul serta menuduh beliau seorang Shi’ah. Shah Abdul Aziz menerangkan kejadian ini:
“Orang ramai menyerang beliau, dengan menjerit “Dia adalah Shi’ah! Dia adalah Shi’ah!” (Bustaan-i-Muhaddoitheen : Ruj: Musallifen-I-Sihaah-I-Sitta: m.s. 67 : Naashir Idara-i-Uloom Asria, Lyallpur)
Mansoor Hallaaj
(Lahir 212 Hijrah, wafat 309 Hijrah)
Wali Allah yang pertama dalam peringkat abad ini yang terpaksa menghadapi kesengsaraan di tangan para mullah adalah Hussain Mansoor Al-Hallaaj. Beliau merupakan seorang wali yang agung pada zamannya di mana orang ramai telah menyaksikan banyak tanda-tanda dan sifat-sifat kemukjizatan yang dianugerahkan Allah s.w.t pada beliau. Seorang sufi yang warak yang dapat menyelami Penciptanya dengan sepenuh dan selengkapnya sehingga merasa telah bersatu denganNya. Apabila beliau berada dalam keadaan kemuncak dan keasyikan zikir beliau mengatakan “Aku adalah Kebenaran”.
Ucapan tersebut tidak dapat difahami oleh ulama-ulama pada masa itu malah menganggap beliau sebagai penderhaka. Atas dasar ucapan tersebutlah para mullah mengisytiharkan beliau murtad dan menyimpang dari undang-undang Allah s.w.t serta hadis dan sunnah Rasulullah saw. Wali Allah ini dipenjara dalam jangkamasa yang amat lama sehinggalah Khalifah Muqtadar dari Baghdad menjatuhkan hukuman bunuh ke atasnya (Qaamoos-ul-Mushaaheer, jilid. 2, m.s. 234, disusun oleh Nizami Badaayooni).
Maulana Raees Ahmad Jaffari menyatakan bahawa:
“Di bawah hukuman yang diberikan oleh Daood-al-Asphahaani Al-Zaahiri beliau (Mansoor Hallaaj) telah ditahan pada tahun 297 Hijrah. Pada kali keduanya beliau ditahan dalam tahun 301 hijrah dan dipenjara selama 8 tahun.. Dalam tahun 309 H, satu keputusan telah dikeluarkan terhadapnya yang menyatakan bahwa beliau mula-mula akan disebat di belakang tanpa baju; kemudian tangan dan kakinya diceraikan dan kemudian kepalanya dipancung. Kesemua bahagian-bahagian badan itu dibakar dan dibuang ke dalam Sungai Tigris. Tiada sesiapa pun yang dapat menyekat perlaksanaan hukuman yang tidak bertamadun itu.
Hallaaj telah disiksa hingga wafat dalam keadaan yang sungguh dahsyat hanya kerana beliau kadangkala menggunakan ucapan “Saya adalah Tuhan”. Itu beliau hanya bermaksud bahwa beliau amat asyik dalam keadaan kecintaan terhadap Penciptanya sehingga beliau merasakan telah bersatu dengan Tuhannya dan dalam kemuncak kecintaan yang luar biasa beliau telah menjadi sebahagian dari Allah”. (Anwaar-i-Auliya, m.s.180-181: di bawah tajuk "Hussain Mansoor Hallaj” dan di bawah tajuk “Adakah Mansoor seorang murtad?”).
Abad Kelima Hijrah
Imam Ibn-i-Hazm
(Lahir 384 Hijrah, wafat 456 Hijrah)
Imam Ibn-i-Hazm adalah diakui oleh dunia sebagai pakar hadis dan sunnah Rasulullah s.a.w serta kata-kata para sahabat. Beliau juga terkenal dan ulung dalam bidang sejarah, falsafah, penulisan, fiqh, tatabahasa, pengarang kamus, puisi dan tabib yang berkebolehan. Segala hujah beliau berdasarkan Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Hal ini telah menyebabkan para ulama pada waktu itu merasa tidak senang terhadap beliau. Oleh itu para ulama tersebut telah bersepakat untuk mengeluarkan fatwa murtad terhadapnya.
Dijelaskan di dalam kitab Mu’ajjam-ul-Muallifeen:
“Hujjah-hujah beliau adalah berdasarkan kepada Al-Quran, sunnah dan hadis Rasulullah s.a.w. Beliau memberikan kritikan-kritikan tajam ke atas para ulama pada waktu itu sehingga meyebabkan para ulama berkenaan bersatu untuk mengeluarkan fatwa bahawa beliau adalah seorang yang murtad. Beliau telah dilaporkan kepada para penguasa dan raja sebagai seorang yang berkelakuan tidak senonoh serta pembelot dan dengan demikian rakyat harus menjauhkan diri daripadanya. Ekoran dari itu beliau telah diusir dalam keadaan hina dan menghabiskan sisa hidupnya di kawasan terpencil tanpa kemudahan yang bernama Labla, Andalusia sehingga beliau meninggal dunia di sana” (Mu’ajjam-ul-Muallifeen: jilid 7: m.s. 16: diterbitkan di Damsyik).
Abad Keenam Hijrah
Hujjat-ul-Islam, Hazrat Imam Ghazali
(Lahir 450 Hijrah, wafat 505 Hijrah)
Imam Ghazali tidak perlu diperkenalkan kerana beliau adalah salah seorang daripada para pemimpin Islam yang paling unggul dalam era pertengahan. Pemimpin seperti beliau hanya boleh dikira dengan jari. Kitab-kitab seperti Ihyaa-ul-Ulumuddin dan Keemiya-I-Sa’adat adalah di antara beberapa karya termasyhur beliau yang mana hingga kini tetap dipuji dan disanjung oleh umat Islam.
Walaupun beliau Imam yang masyhur, namun para mullah yang berfikiran sempit tetap sahaja tidak melepaskan beliau dari tuduhan-tuduhan yang tidak berasas. Seorang penulis terkenal dari Pakistan, Maulana Raees Ahmad Jaffri telah menulis:
“Ramai ahli fiqh dan Mullah-mullah yang mementingkan keduniaan membenci dan menyimpan perasaan irihati terhadap beliau. Menentang beliau dianggap sebagai satu kemuliaan dan kejayaan. Mereka mengejek dan mencemoh beliau dan melemparkan berbagai fitnah terhadap ajaran-ajaran beliau dan mempengaruhi orang ramai agar tidak percaya dengan beliau dan ajarannya” (Anwar-ul-Auliya: m.s. 198).
Imam Ghazali menulis sebuah buku berjodol “Manhul” yang berkaitan dengan fiqh. Buku ini dijadikan alasan oleh musuh-musuh beliau untuk membuat tuduhan murtad serta sesat. Maulana Shibli menulis:
“Bagi musuh-musuh Imam itu, buku ini telah membuka satu peluang keemasan di mana mereka mengemukakannya sebagai bukti dalam bentuk dokumen. Mereka membawa buku ini kepada Raja Sanjar dan dengan tafsiran salah yang mereka reka dengan sengaja ditanamkan dalam pemikiran masyarakat. Disamping itu juga mereka merujuk karya-karya lain dengan pemahaman yang disalah ertikan dengan tujuan agar mereka dapat membuktikan bahawa ajaran beliau adalah bertentangan dan tidak islamik. Oleh sebab itu mereka menuduh Imam Ghazali sebagai Atheis dan murtad” (Al-Ghazali: oleh Allama Shibli Nomaani: m.s. 56).
Mengikut Ejaaz-ul-Haq Quddoosi bahawa apa yang berlaku terhadap Imam Ghazali adalah disebabkan oleh kemasyhuran yang diperolehinya dengan begitu cepat samada dari tempat yang dekat atau jauh. Imam Ghazali melalui buku-bukunya telah membongkar segala tipu hela dan kebohongan para ulama yang mementingkan keduniaan. Oleh sebab itu para ulama tersebut mula menyedari bahawa mereka akan kehilangan pengaruh ke atas masyarakat dan tiada siapa yang akan mengikuti mereka lagi (Imam Ghazali: m.s. 42-44: Penerbit Ferozsons).
Dijelaskan dalam buku “Ghazali Naama” bahawa raja Andalusia dan Maghribi yang bernama Yusuf Bin Taashfeen, (Lahir 496 Hijrah dan meninggal 537 Hijrah) adalah seorang pengikut Imam Malik yang amat teguh berpegang kepada keimanannya. Beliau sungguh berprasangka terhadap semua ahli falsafah dan atheis. Para ahli fiqh dari mazhab Imam Malik telah menyalahtafsirkan pandangan-pandangan Imam Ghazali dan mereka menuduh beliau sebagai seorang atheis dan mengatakan bahawa segala konsep-konsep yang diketengahkan adalah hasil dari buah fikirannya sendiri dan tidak ada kaitan dengan ajaran Islam. Oleh itu Ali bin Tashfeen telah memerintahkan semua kitab “Ihyaa-ul-Ulumuddin” dan karya-karya beliau yang lainnya perlu dirampas dan dibakar. Seterusnya raja tersebut memerintahkan agar semua pengikut-pengkikut Imam Ghazali ditangkap dan dihukum pancung. Setelah Ali bin Tashfeen meninggal dunia para ulama seterusnya mengeluarkan perintah yang sama agar semua karya-karya Imam Ghazali dibakar dan sesiapa yang membaca kitab Ihyaa-ul-Ulumuddin adalah satu kesalahan.
Yang menjadi keajaiban adalah buku tersebut yang mana para ulama berfikiran sempit haramkan telah menjadi satu buku yang amat masyhur dan beberapa abad kemudiannya dianggap sebagai buku yang terbaik pernah dikarang oleh seorang ulama. Inilah satu mukjizat bagi Imam Ghazali, beliau adalah seorang wali Allah yang mana doa, kesabaran dan ketabahan beliau telah membuahkan satu keajaiban luar biasa.
Ghauth-i-Azam, Sayyid Abdul Qadir Jailani
(Lahir 470 Hijrah, wafat 561 Hijrah)
Hazrat Sayyid Abdul Qadir Jailani adalah seorang ulama dan wali Allah yang amat terkenal dari Mazhab Sunni. Beliau adalah pengasas madrasah Qaadiriyya dalam tasauf Islam dan juga merupakan seorang yang sederhana dan ulama yang tiada tandingannya. Telah menulis beberapa buah buku dan di antara buku-bukunya yang masyhur adalah “Ghuyat-ul-Taalibeen”, “Futooh-al-Ghaib” dan “Bahjat-ul-Asraar”. Sebuah lagi buku “Al-Fath-ur-Rabbaniya” adalah koleksi syarahan beliau.
Adalah diketahui bahawa Allama Abul Farah Abdul Rahman bersama-sama 200 orang pengikutnya telah mengeluarkan fatwa sesat dan murtad terhadap seorang suci seperti Hazrat Sayyid Abdul Qadir Jailani. Sebuah buku telah ditulis berjodol “Talbees-i- Iblees" (Warna Penipuan Syaitan) yang memuatkan kritikan bersifat negatif terhadap sistem tasauf yang diketengahkan oleh ulama suci ini. Dalam buku tersebut juga dimuatkan kritikan dan serangan samada secara langsung atau tidak langsung terhadap ulama dan wali Allah yang mulia ini yang amat terkenal dengan gelaran “Ghauth-i-Azam”.
Di dalam sebuah buku berjodol “Haalaat-i-Janaab-i-Ghauth-ul-Azam” tertulis bahawa:
“Beberapa orang yang bodoh dan berfikiran sempit….telah memberikan fatwa terhadapnya seperti fatwa terhadap sekumpulan orang yang tidak beriman dan tidak beragama mempunyai sifat keduniaan” (m.s. 1: diedit oleh Ibn-I-Waseem;: Maktaba Azizia, Kashmiri Bazar, Lahore)
Allama Ibn-i-Rushd
(Lahir 520 Hijrah, wafat 595 Hijrah)
Allama Ibn-i-Rushd boleh dianggap seperti matahari di ufuk pengajian dan keilmuan. Beliau seorang ahli falsafah serta pakar dalam ilmu agama dan perubatan. Beliau juga seorang ahli matematik yang amat terkenal dan telah mengarang lebih dari 40 buah buku dalam berbagai topik yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin, Hebrew dan lain-lain bahasa. Falsafah moden Eropah banyak yang berdasarkan kepada karya-karya beliau. Beliau dianggap sebagai ahli falsafah ulung sesudah Aristole. Sebagai seorang suci, beliau juga tidak terkecuali dari tuduhan sesat dan para ulama berfikiran sempit mengisytiharkan seorang bintang keilmuan dan kebijaksanaan seperti beliau sebagai sesat dan murtad.
Tentang tuduhan kesesatan terhadap ulama yang mulia itu, Maulana Abdus Salaam dari Nadwa menulis:
“Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh musuh-musuh Ibn-i-Rushd (Aviros) telah menjadi isu yang hangat di seluruh Negara - ianya telah menjadi isu negara. Masjid di Cordoba menjadi tempat perhimpunan ulama-ulama dan ahli-ahli falsafah terkemuka pada masa itu. Tujuan utama perhimpunan tersebut adalah untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang kesesatan dan kemurtadan ulama yang amat terkenal iaitu Ibn-i-Rushd. Dalam perhimpunan ini Qadi Abu Abdullah Bin Ibrahim-ul-Usooli juga telah dipanggil kerana beberapa ucapan beliau yang didakwa dicemari kemurtadan.
Perbicaraan telah dimulakan dengan ucapan Qadi Abu Abdullah Bin Marwan yang mengatakan bahawa kebanyakan perkara mengandungi dua aspek iaitu kebaikan dan keburukan. Apabila kebaikan mengatasi keburukan maka faedah perlu diperolehi darinya. Jika sebaliknya ianya perlu ditinggalkan. Apabila qadi tersebut duduk maka khatib masjid tersebut bernama Abu Ali Bin Hujjaj berdiri dan mengakhiri ucapannya dengan mengisytiharkan fatwa bahawa orang-orang suci tersebut adalah sesat dan murtad. Mereka dijatuhkan hukuman buang negeri dan Ibn-i-Rushd (Aviros) telah dipenjarakan di Buseena – di perkampungan orang-orang Yahudi di Cordoba. Ini adalah kerana beberapa orang telah membuktikan bahawa beliau mempunyai sedikit darah bangsa Yahudi” (Hukama-i-Islam: Bahagian 2, m.s. 120-121).
Abad Ketujuh Hijrah
Sheikh-ul-Akhbar Mohyi-ud-Deen Ibn-i-Arabi
(Lahir 560 Hijrah, wafat 638 Hijrah)
Sheikh Mohyi-ud-Deen Ibn-i-Arabi menduduki senarai yang teratas sebagai individu yang terkemuka di Sepanyol. Beliau telah meninggalkan tanda yang tidak boleh dipadamkan dalam lembaran sejarah Islam. Beliau telah memperbaharui banyak cabang-cabang pengajian. Beliau bersinar sebagai seorang ahli falsafah, tasauf, konsep keagamaan, fiqh, sastera dan tafsir Al Quran. Beliau banyak menulis buku dan semuanya merupakan hasil karya yang amat baik. Beliau juga mempunyai kemampuan luar biasa dalam membincangkan isu “khatm-i-Nubuwwat” tanpa menimbulkan apa-apa keraguan. Pandangan dan penyelidikan berhubung dengan perkara sensitif ini akan menjadi panduan jelas untuk selama-lamanya. Walaupun demikian Ibn-i-Arabi juga menjadi sasaran dan ‘serangan murtad’ oleh ulama-ulama yang berfikiran sempit. Bukan sahaja difatwakan kafir malahan beliau telah digelar sebagai “Murtad yang Agung” (Ibn-i-Arabi oleh Abu Javed Niazi: Penerbit: ferozsons, Lahore, 1969: m.s. 73).
Walaupun para ulama tersebut menolak orang suci ini, namun Allah telah menerima dan memberkatinya dengan keredhaanNya. Ramai alim ulama yang terkemuka dan ahli-ahli sufi secara terbuka mengakui Sheikh Mohyi-ud-Deen Ibn-i-Arabi sebagai seorang mujadid (Reformer) serta memuji dan menyanjung tinggi sumbangan beliau terhadap Islam. Seorang suci bernama Allama Qutbuddin dari Shiraz menulis:
“Wali Allah tersebut adalah seorang yang pakar dalam bidang syariah dan konsep-konsep ilmu tasauf. Sesungguhnya beliau tiada tandingan dalam kedua-dua bidang tersebut. Mereka yang mengkritik karya tulisan beliau tidak boleh disalahkan kerana di luar kemampuan mereka untuk memahaminya. Mereka yang membantah beliau boleh disamakan dengan mereka yang mengkritik dan membantah para nabi Allah”.
Hazrat Imam Fakhruddin Razi berpendapat bahawa Imam Mohyi-ud-deen Ibn-i-Arabi adalah seorang wali Allah yang ulung dan guru Sufi pada zamannya. Allama Jalaluddin Siyooti menganggap beliau sebagai ketua para wali dan sebagai seorang yang berjalan dengan kasut Rasulullah s.a.w.
Imam Ibn-i-Sa’ad Yaaf’aee pernah mengatakan Imam Ibn-i-Arabi telah mencapai peringkat tertinggi kewalian. Imam Sabki pernah menganggap beliau sebagai tanda dari salah satu tanda-tanda Allah s.w.t dan beliau adalah seorang yang menyimpan kunci ilmu di dalam tangannya.
Sheikh dari kalangan sheikh, Hazrat Shahaab-ud-Deen Suhrawardi dan Hazrat Sheikh Kamaaluddeen mengakui kedudukan tinggi Ibn-i-Arabi yang mana pada pandangan mereka adalah seorang wali yang telah mencapai kesempurnaan dan melakukan banyak mukjizat (Mashaahir-i- Islam: jilid 1, m.s. 187: Sufi Printing & Publishing Co. Mandi Bahauddin).
Abad Kelapan Hijrah
Imam Ibn-i-Taimiya
(Lahir 661 Hijrah, wafat 728 Hijrah)
Imam Ibn-i-Taimiya adalah seorang ulama yang amat terkemuka dan tekun dalam mengkhidmati agama. Beliau dikenali sebagai seorang yang warak dan kebijaksanaan beliau diakui oleh semua.
Seorang pembela Islam yang tegas seperti beliau juga terpaksa mengalami kesengsaraan di tangan para ulama. Beliau telah dipenjara dan disiksa dalam jangka waktu yang lama sehingga meninggal dunia. Dalam sebuah buku yang termasyhur bertajuk “Fawaat-ul-Waafiyaat” terdapat penjelasan panjang lebar, di antaranya adalah seperti berikut:
“Para ulama berserta mereka yang bersubahat, pencari keuntungan, menyedari bahawa Ibn-i-Taimiya tidak berpegang kepada konsep yang sama seperti mereka dan disebabkan kebimbangan pengaruhnya semakin bertambah yang mana amat berkemungkinan membawa bahaya maka meraka telah bersatu untuk menentangnya. Mereka menyediakan dokumen-dokumen yang menuduh Ibn Taimiya kafir. Seterusnya mereka telah mengadakan satu tunjuk perasaan sebagai tentangan terhadap Imam yang warak tersebut dengan mendapatkan bantuan dari orang ramai dan samseng-samseng jalanan dan dengan harapan masalah Imam tersebut dapat dihadapkan kepada pihak berkuasa. Akhirnya Imam Ibn-i-Taimiya dihadapkan ke Mahkamah Khalifah Mesir di mana para ulama berfikiran sempit berkenaan mempastikan agar beliau dipenjara. Usaha fitnah mereka mendapat kejayaan yang luar biasa sehingga guru-guru sekolah yang telah bersara termasuk mereka yang hidup menyendiri sebelumnya turut bergabung memberikan sokongan untuk menentang Imam tersebut.
Segala cubaan dan kesulitan yang dihadapi oleh Imam Ibn-i-Taimiya tidak berakhir dengan segera. Beliau seterusnya menghadapi tuduhan demi tuduhan sehingga kesnya dibawa ke hadapan Qadi yang mana memberikan perintah bahawa Imam itu tidak patut dilepaskan dari penjara. Oleh itu Imam tersebut menjalani kehidupannya di dalam penjara sehingga kematian menyelamatkannya dari kejahatan yang dilakukan oleh mereka yang kononnya sebagai penegak keadilan dan keimanan, dan akhirnya Imam tersebut memasuki syurga” (Taareekh-i-Ahl-i-Hadeeth: m.s. 159-160, oleh Maulana Muhammad Ibrahim dari Sialkot).
Beberapa jam sebelum Imam yang terhormat itu meninggal dunia, menteri kehakiman Damsyik datang memohon ampun daripada beliau. Imam yang suci itu telah menghadapi segala kezaliman hanya disebabkan oleh kecintaan beliau kepada Allah. Beliau berkata, “Saya mengampuni anda dan semua yang memusuhi saya kerana mereka tidak mengetahui bahawa saya adalah benar. Saya juga mengampuni Raja Nasir yang telah memerintahkan agar saya dipenjara kerana beliau telah dinasihati oleh orang-orang yang tidak mengetahui kebenaran”.
Cuba renungkan betapa imam ini seorang yang berjiwa besar lagi mulia dan marilah kita memuji Allah yang telah mencipta ruh-ruh yang suci dari kalangan pengikut-pengikut guru yang luar biasa iaitu Rasulullah saw.
Imam Nizam-ud-Din Auliya
(Lahir 634 Hijrah, wafat 750 Hijrah)
Hazrat Nizam-ud-din Auliya juga dikenali sebagai “Sultan-ul-Auliya” yakni Raja Para Wali. Beliau terkenal di seluruh benua India. Makam beliau terletak di Delhi. Beliau adalah murid kepada seorang wali terkenal bernama Hazrat Baba Ganj Shakar dan seorang penulis puisi tersohor bernama Amir Khusro merupakan anak muridnya. Di dalam buku bertajuk “Anwar-i-Auliya” menceritakan tentang Hazrat Nizam-ud-din Auliya:
“Permaidani telah dihamparkan di hadapan istana raja dan di tengah-tengahnya raja duduk dikelilingi para perajurit yang lengkap bersenjata. Sebaris ulama pakar dalam syariah duduk di sebelah kanan raja.
Mufti itu bertanya kepada Sheikh: Adakah anda seorang Muslim?
Sheikh menjawab: Pujian bagi Allah, saya adalah seorang Muslim.
Mufti itu bertanya: Adakah anda seorang berfahaman mazhab Hanafi?
Sheikh menjawab: Ya, saya mengikuti Imam Abu Hanifa.
Mufti itu bertanya : Adakah anda mendengar muzik?
Sheikh menjawab: Ya, saya mendengar.
Mufti itu bertanya: Adakah anda mempunyai sebarang dalil untuk menyokong amalan tersebut?
Sheikh menjawab: Terdapat hadis Rasulullah saw dalam Sahih Bukhari bahawa wanita-wanita Madinah menyanyi diiringi bunyi gendang-gendang kecil, sambil Rasulullah saw duduk mendengarnya”.
Kemudian Sheikh tersebut telah membaca hadis itu dan menerangkan maknanya sebagaimana yang telah diberitahu oleh Khwaja Sayyid Imam. Seterusnya beliau berkata bahawa sambil Rasulullah saw duduk mendengar nyanyian itu, Hazrat Umar r.a datang dan segera melarang perempuan-perempuan tersebut daripada terus menyanyi. Oleh itu Rasulullah saw bersabda, “Jangan melarang wanita-wanita itu. Hari ini adalah hari perayaan mereka. Semua orang mempunyai perayaan masing-masing”.
Ketua Mufti naik marah apabila mendengar hadis Rasulullah saw dan berkata:
“Apa yang telah anda lakukan dengan sunnah dan hadis-hadis Rasulullah? Anda pengikut Imam Abu Hanifa. Oleh itu berilah bukti dari Abu Hanifa untuk menyokong kamu”.
Sheikh itu menjawab:
“Allah sahaja yang Maha Suci. Saya telah membawa dalil dari guru kita. Tetapi tuan mahukan saya membawa dalil dari hambanya - seorang pengikut. Siapa Abu Hanifa untuk melebihi Rasulullah saw? Bagaimana saya dapat memberi lebih keutamaan kepada Abu Hanifa daripada gurunya iaitu Rasulullah saw? Mereka yang mengutamakan kata-kata seorang pengikut daripada gurunya patut takut dari hukuman pembuangan negeri. Mereka boleh dihukum dengan membiarkan mereka kebuluran dan negeri mereka dalam bahaya kehancuran”.
Setelah mendengar penjelasan tersebut maka Ketua Mufti dan Sheikhzada Farhaam, demi untuk membangkitkan lagi perasaaan marah raja dan sesiapa saja yang hadir di situ, mengatakan:
“Kami mohon perlindungan daripada Allah. Orang ini berani memperkecilkan Pemilihara Syariah (Abu Hanifa) dan menghina pengikut mazhab Abu Hanifa (Ketua Mufti). Dia telah mengatakan, ‘Siapa itu Abu Hanifa?’ dan sebelumnya ia mengatakan dia adalah pengikut Abu Hanifa”.
Ketua Mufti tersebut berjaya dalam membangkitkan kemarahan semua ulama dan mulai menjerit:
“Oh! Dia telah menghina Imam Abu Hanifa, orang ini adalah pengkhianat, Dia sangat biadab” (Anwar-I-Auliya: m.s. 297-8).
Abad Kesembilan Hijrah
Maulana Abdul Rahman Jami
(Lahir 817 Hijrah, wafat 898 Hijrah)
Maulana Jami telah diiktiraf sebagai seorang guru di dalam semua jurusan ilmu. Beliau adalah seorang wali Allah yang agung dan penulis yang terkenal. Tulisan beliau berjodol “Sharah Kaafiya” dan “Sharah Mukhtasir-ul-Waqaaya” adalah paling masyhur. Beliau juga telah dilabel sebagai sesat (Mingguan ‘Khursheed’-Sandela: 25hb Februari 1938).
Abad Kesepuluh Hijrah
Sayyed Muhammad Janpuri
(Lahir 847 Hijrah, wafat 902 Hijrah)
Hazrat Sayyid Muhammad Janpuri adalah pengasas madrasah tasauf Mahdaviya. Beliau adalah seorang ahli fikir dan wali Allah yang diakui ramai. Dilabel sebagai seorang murtad disebabkan beliau telah mendakwakan diri sebagai Mahdi pada zamannya.
Dalam kitab bertajuk “Tazkera” oleh Maulana Abul Kalaam Azzad ada menyatakan:
“Pada waktu itu setiap orang bercakap mengenai mazhab Mahdaviya dan bagi para ulama dakwaan ini memberikan mereka keuntungan. Kerana mereka semua mendapat kepuasan dalam membuat dakwaan bahawa orang-orang suci sebagai pengkhianat dan murtad. Inilah kegemaran mereka pada masa lapang. Sentiasa mencari-cari hiburan berbentuk kontroversi dan perbalahan dikalangan umat Islam dari berbagai mazhab. Dengan menggunakan polemik seperti ini mereka mendapat pengaruh di kalangan masyarakat dan dapat menguasai mereka yang tidak berpengetahuan. Dengan cara inilah mereka dapat menyebarkan pengaruh mereka. Melihat keadaan umat Islam pada masa itu adalah tepat sekali apabila Sayyid Muhammad Janpuri membuat teguran-teguran ikhlas. Keadaan tersebut juga telah menjadi alasan bagi beliau mendakwakan diri sebagai Mahdi”.
Dalam salah satu surat Shah Abdul Aziz ada disebutkan tentang pandangan Hazrat Shah Wali Ullah yang mana beliau mengatakan bahawa Sayyid Muhammad merupakan seorang ulama agung dan wali yang mempunyai hubungan langsung dengan Allah. Namun demikian sebagai manusia biasa, ada kalanya beliau gagal mentafsirkan dengan tepat beberapa wahyu dan ilham yang diterimanya. Ekoran dari itu beliau menghadapi ketidakpastian tentang status beliau sebagai Mahdi pada waktu itu. Beliau tidak membuat dakwaan tanpa sebab yang kukuh maupun dengan niat menipu. Sebaliknya dakwaan tersebut adalah atas dorongan dari langit. Dalam hal ini, ulama suci seperti Hazrat Mujaddid dan Mirza Mazhar Jan-i-Jaanaan memberikan pengakuan yang sama. Namun para ulama berfikiran sempit terus berusaha menyalahkan Sayyid Muhammad dengan melemparkan tuduhan-tuduhan mereka berdasarkan kepada dakwaannya sebagai Mahdi” (Tazkera: m.s. 44-60: cabutan).
Abad Kesebelas Hijrah
Mujaddid Alif Thaani
(Lahir 971 Hijrah, wafat 1034 Hijrah)
Hazrat Sayyid Ahmad adalah seorang mujaddid (reformis) pada abad ke sebelas yang memulakan gerakan menentang setiap perubahan tidak sihat yang menyusup masuk ke dalam Aqidah umat Islam. Beliau bekerja dengan pena dan pidatonya tanpa mengenal penat lelah. Hasil tulisan beliau, ‘Maktoobaat’ merupakan khazanah yang penuh dengan ilmu dan hikmah sebagai panduan dalam menyelesaikan pelbagai masalah agama dan Sufism.
Semasa melaksanakan kerja dengan penuh ketekunan, mujaddid ini tidak terlepas dari berbagai cubaan dan kesulitan. Beliau menghadapi tentangan yang luar biasa terutama sekali dari ulama yang seagama dengannya hanya kerana beliau mengajarkan ajaran Islam dan Al-Quran yang sebenar. Tuduhan yang amat menghampakan adalah laporan yang dibuat kepada Mahkamah Raja Jehangir mengenainya bahawa ada seorang ulama tinggal di Sarhind mempunyai pandangan yang menghampiri kesesatan.
Sepertimana yang diriwayatkan dalam kitab “Khazeenat-ul-Asfiya” bahawa sebahagian ulama telah mengeluarkan hukuman berat dan membangkitkan perasaan permusuhan terhadapnya ke seluruh pelusuk benua. Sepertimana yang pernah berlaku ke atas Nabi Yusof a.s maka perkara yang sama juga berlaku di mana selama hampir satu tahun beliau menjalani kehidupan dalam penjara di Gwaliar Fort (Rod-i-Kauthar, m.s. 222-226).
Sarmad As Syahid
(Lahir 1002 Hijrah, wafat 1070 Hijrah)
Hazrat Sarmad adalah seorang penyair yang berasal dari Armenia di mana beliau telah memeluk Islam pada masa usia muda. Beliau telah datang ke India dari Iran semasa pemerintahan Raja Shahjehan dan lebih dikenali dengan nama timangan “Sarmad”. Oleh kerana kecintaan yang mendalam terhadap Allah dan juga amalan tasauf yang berlebihan beliau telah kehilangan pemikiran lalu keluar rumah tanpa seurat benang.
Para ulama yang berfikiran sempit dengan mudah menjadikan beliau mangsa label kesesatan. Mereka mengemukakan salah satu ungkapan beliau yang mengatakan, “Sesiapa memperolehi ilmu dan memahami kebenaran tentang “KewujudanNya” akan memperolehi kemajuan rohani yang luas melebihi ruang angkasa; para ulamamengatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah naik ke syurga, akan tetapi Sarmad mengatakan syurga telah bertukar menjadi diri Ahmad”.
Sepertimana dijelaskan dalam kitab “Tazkerat-ul-Khiyaal” bahawa para ulama tersebut membuat tuduhan terhadap beliau berdasarkan kepada persoalan bahawa Sarmad telah manafikan mikraj Rasullulah s.a.w secara fizikal (dalam bentuk tubuh kasar). Para ulama yang mendakwa Sarmad, menambahkan satu lagi tuduhan. Mereka mengarahkan Sarmad untuk mengucap “Kalimah”. Sarmad mengucapkan ‘La Ilaha”(Tiada Tuhan) dan kemudian berdiam diri. Beliau enggan meneruskan ucapan seterusnya. Apabila para ulama mendesaknya untuk meneruskan ucapan, beliau menjawab, “Setakat ini saya begitu asyik dengan penyangkalan itu. Saya belum lagi mencapai peringkat membenarkannya. Apabila saya mencapai peringkat tersebut saya akan mengucapkan ‘Il-Allah’ juga”.
Apabila para ulama yang mementingkan keduniaan itu mendengar kenyataan Sarmad maka dengan tiba-tiba mereka melompat dan dengan serta merta mengisytiharkan Sarmad sebagai kafir yang mana membunuhnya dengan segera amat diperlukan demi agama Islam. Mereka mengisytiharkan bahawa Sarmad wajib dihukum pancung kecuali jika beliau menarik balik apa yang telah diucapkannya. Namun Sarmad tidak bersedia untuk berbuat demikian kerana perasaan cinta yang begitu asyik terhadap Allah s.w.t. Pada hari keesokannya beliau dibawa ke tempat pelaksanaan hukuman berdekatan dengan Masjid Jamek Delhi. Apabila tukang pancung datang kepada beliau dengan pedang terhunus, Sarmad membaca ayat berikut dan meletakkan kepala beliau di atas blok kayu:
“Oleh kerana terdengar satu sorakan, kami dibangunkan dari tidur yang tiada wujudnya dan mata kami terbuka. Kami melihat bahawa malam yang penuh penderitaan belum lagi berakhir, oleh itu kami pun kembali tidur” (Rod-i-Kauthar, m.s. 390-391 dan Qaamoos-ul-Mashaheer: jilid 1, m.s. 287-288).
Imam-ul-Hind Maulana Abul Kalam Azaad menulis tentang kejadian tersebut:
Semenjak satu ribu tiga ratus tahun dalam sejarah, pena para qadi sentiasa menjadi seperti sebilah pedang dan darah beribu-ribu orang pilihan Tuhan mengotori tubuh mereka. Sekiranya seseorang membaca buku sejarah Islam dalam mana-mana abad, orang itu akan mendapat tahu bahawa apabila seorang raja berlaku kejam, pada masa yang sama pena Mufti bekerja serentak dengan kekejaman itu. Pembunuhan-pembunuhan ini tidak terhad hanya kepada para ahli sufi dan orang yang tidak beragama sahaja malahan ulama Muslim biasa juga terpaksa menderita di tangan para qadi ini dan mereka hanya dapat bebas dengan menyerahkan kepala mereka kepada pedang tukang pancung. Sarmad juga syahid di pedang yang sama” (Mashsaaheer-i-Isla, jilid 1 m.s. 151: Sykt. Penerbitan & Percetakan Sufi,,Mandi Baha-ud-Din).
Abad Keduabelas Hijrah
Hakim-ul-Millat Shah Wali Ullah
(Lahir 1114 Hijrah, wafat 1171 Hijrah)
Hazrat Shah Wali Ullah merupakan seorang Muhaddith berasal dari Delhi, tidak dapat diragukan sesungguhnya beliau adalah seorang Mujaddid Abad ke 20. Beliau adalah ulama India yang pertama menterjemah Al-Quran dari bahasa Arab ke bahasa Farsi. Ini dilakukan selepas lebih 1100 tahun Al-Quran diwahyukan. Sesudah itu orang lain pun mula mengikut jejak beliau menterjemahkan firman suci Allah ini ke dalam bahasa-bahasa lain. Hanya mereka yang dapat menilai dan menghargai sahaja yang menyanjung tinggi khidmat suci beliau terhadap Islam. Akan tetapi para ulama amat menentang beliau dan cuba menimbulkan perasaan benci masyarakat terhadap Hazrat Shah Wali Ullah yang mulia itu. Mereka menuduh beliau membawa satu pandangan yang boleh menyebabkan orang-orang Islam menjadi sesat. Para ulama mengatakan bahawa apabila orang yang kurang berilmu pengetahuan membaca terjemahan Al-Quran tersebut akan meninggalkan Islam. Oleh itu mereka mengisytiharkan bahawa terjemahan tersebut adalah satu pekerjaan yang tidak suci dari segi aqidah. Di samping itu juga mereka menambah lagi bahawa tidak seorang pun sebelum ini pernah melakukan kesilapan sebegitu. Oleh itu Hazrat Shah Wali Ullah telah melakukan satu jenayah keji yang mana hukuman yang setimpal hanya dengan memancung kepalanya.
Hanya disebabkan oleh rasa benci dan cemburu maka para ulama telah memberikan gambaran yang tidak benar terhadap segala khidmat suci Hazrat Shah Wali Ullah. Khidmat tersebut sewajarnya disanjung setinggi-tingginya. Sebaliknya tanpa membuang masa mereka menyebarkan propaganda palsu di dalam bandar dan menghasut masyarakat agar memusuhi Hazrat Shah Wali Ullah. Ketika keluar dari masjid Fatehpuri di Delhi selepas menunaikan solat Asar, para penentang beliau telah bersedia menuding jari kepada beliau supaya samseng-samseng yang sedang menunggu di luar masjid dapat mengepung beliau dari semua arah dengan niat untuk membunuhnya. Namun terjadi suatu mukjizat yang mana beliau dapat keluar dari kepungan mereka dengan selamat tanpa calar sedikit pun. Akhirnya tentangan terhadap beliau semakin reda dan terjemahan Al-Quran yang telah dilakukan itu menyebabkan setiap muslim terhutang budi kepada Hazrat Shah Wali Ullah higga ke hari ini (Deebaacha Al-Balaagh-ul-Mubeen, m.s. 18-19: Deoband).
Abad Ketigabelas Hijrah
Muhammad Bin Abdul Wahhab
(Lahir 1115 Hijrah, wafat 1206 Hijrah)
Sheikh Muhammad bin Abdul Wahhab adalah seorang reformis Islam yang berbangsa Arab. Beliau dilahirkan di Njad, Arab Saudi dan telah mengasaskan satu pergerakan yang lebih dikenali sebagai “Pergerakan Wahaabi”. Beliau bekerja tanpa mengenal penat untuk menegakkan ketauhidan Allah s.w.t dan sunnah Rasulullah saw. Namun demikian seorang putera Islam yang berwibawa seperti beliau juga diisytiharkan sesat.
Mufti dan Imam Besar Mekah menjatuhkan hukuman ke atas putera Islam yang termasyhur ini sepertimana yang tercatat dalam buku, “Al-ddarar-al-Sunniya Fee Radd-il-Wahhabiya” (Kebenaran mengenai Agama Wahaabi, disunting oleh Maulana Muhammad Zia Ullah Qadari: penerbit Qadri Kutub, Khana, Sialkot: m.s. 5 dan 20-21).
Benarlah Sabda Rasulullah Saw
Peristiwa menyayat hati yang menimpa orang-orang suci seperti di atas sememangnya telah di sabdakan oleh Rasulullah saw lebih dari 1,400 tahun dahulu. Perhatikan sabda Rasulullah saw ini, “Sayyidina Ali r.a berkata, Baginda Rasulullah saw bersabda, “Satu zaman akan datang di mana Islam hanya tinggal nama sahaja. Dan Al-Quran hanya tinggal tulisan sahaja, masjid-masjid akan penuh dengan penghuninya tetapi akan kosong dari orang-orang suci dan takwa. Ulamak mereka adalah sejahat-jahat makhluk di bawah kolong langit, mereka akan membuat fitnah dan fitnah itu akan kembali menerpa mereka” (Riwayat Buhaiqi fi syukbul imam dan Misykat Kitabul Elam, hal. 38 dan Kanzul Ummal 2:43). Pesanan suci Rasulullah saw ini menepati fenomena di sebalik peristiwa kejam yang berlaku ke atas orang-orang suci pilihan Allah. Oleh itu individu muslim perlu merenungi pesanan Rasulullah saw ini serta menanam kesedaran dan berwaspada terhadap wujudnya golongan yang mengeksploitasi Islam sebagai topeng demi mencapai kepentingan diri mereka.
Post A Comment:
0 comments: