Jelaslah, kekuatan akhlak dan kebenaran Al Qur’an adalah senjata yang amat berkesan dan tidak ada tandingannya untuk menundukkan kekerasan hati penganut agama lain terutamanya masyarakat Barat. Kebanyakan mereka adalah golongan terdidik, berdisiplin dan berprinsip. Jika golongan ini menerima Islam, mereka akan lebih Islamik berbanding dengan orang Islam yang mewarisi keislamannya secara keturunan. Justeru itu, umat Islam perlu membuktikan bahawa Islam adalah agama yang dapat memecahkan masalah sosial, politik dan ekonomi bagi membuka hati mereka untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Islam dan selebihnya sama ada mereka menerima atau menolak Islam adalah kurnia daripada Allah swt.
Musuh-musuh Islam menyedari hal ini dan mereka melakukan pelbagai cara untuk menghalang masyarakat mereka daripada mendapat gambaran yang baik mengenai Islam. Golongan ini sengaja memprovokasi dengan menghina Rasulullah saw kerana mereka mengetahui umat Islam akan melakukan tunjuk perasaan dengan menjerit-jerit di jalanan, membakar dan merosakkan harta benda awam. Peristiwa ini ditayangkan secara berulang-ulang di media massa Barat untuk memperlihatkan sikap kasar dan ganas umat Islam. Apa yang lebih mengecewakan, umat Islam sering terperangkap dalam muslihat seperti ini yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam. Pada pendapat orang Islam, mereka melakukan kekerasan untuk memberi mesej kepada masyarakat Barat untuk jangan menghina dan mempermain-mainkan Islam tetapi musuh-musuh Islam sememangnya menunggu kesempatan ini untuk memburukkan imej Islam di mata masyarakat yang bukan beragama Islam agar membenci agama Islam. Lebih parah lagi, umat Islam sendiri yang benci kepada keganasan juga turut menjadi keliru, apakah ini ajaran Islam sebenarnya? Apabila mereka tidak mendapat jawapan yang tepat, akhirnya mereka juga turut membenci Islam dan meninggalkan agama Islam. Lebih merugikan apabila mereka yang meninggalkan agama Islam memeluk agama Kristian dan menjadi musuh kepada Islam. Orang-orang ini melihat tolak ansur, kelembutan serta kasih sayang yang ditampilkan oleh agama Kristian. Siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini?
Pada hakikatnya umat Islam perlu memperkemaskan strategi ke arah jihad intelektual dalam menangani segala masalah, di sinilah tempatnya perbuatan AMAL SALEH memainkan peranan. Kini kelajuan kuda tunggangan telah digantikan dengan kepantasan satelit televisyen dan internet yang merupakan instrumen paling cepat dan berkesan membawa suara Islam dari langit untuk memasuki setiap rumah dan bilik di seluruh pelosok dunia. Seharusnya umat Islam bersatu tenaga memikir dan merealisasikan agar kemajuan ICT pada hari ini dimanfaatkan setiap detik selama 24 jam untuk memancarkan ke seluruh pelosok dunia kemuliaan Nabi Muhammad saw dan Islam. Pancarkan program-program Islamik kepada masyarakat dunia khasnya kepada masyarakat Barat. Jika umat Islam ikhlas berdoa dan berusaha, dengan sifat Yang Maha Rahman dan Maha Rahim, Allah swt pasti membantu mewujudkan satu kaedah yang sistematik di kalangan umat Islam bagi mempraktikan jihad yang pernah dilaksanakan oleh Rasulullah saw dan para sahabat ra. Para sahabat ra bertebaran di seluruh pelosok dan penjuru dunia berjihad dengan mempromosikan ajaran Islam dan akhlak Rasulullah saw yang penuh dengan kesucian dan keindahan. Pejuang-pejuang Islam yang ada pada hari ini hendaknya jangan membazirkan nyawa dengan meletupkan diri dan membunuh orang awam yang tidak berdosa, letakan senjata dan hadirkan diri di seluruh ceruk dan rantau semata-mata bertujuan untuk menyampaikan tabligh Islam.
Umat Islam yang berkemampuan dan negara-negara Islam yang kaya raya dengan hasil minyaknya wajib turut membantu menjayakan program pertablighan Islam. Bijak pandai umat Islam hendaknya sanggup bersengkang mata dan berhempas pulas memerah tenaga dalam menunaikan tanggungjawab mencetak dan menterjemahkan Al Qur’an ke dalam pelbagai bahasa utama dunia. Edarkan risalah-risalah, buku-buku Islamik dan Al Qur’an secara percuma untuk tujuan tarbiyah kepada sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa dan agama. Setiap muslim hendaknya sanggup mengorbankan kekayaan, masa, tenaga dan sebagainya demi kemakmuran dan kemenangan agama Islam. Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw jihad “Akbar” yakni jihad melawan hawa nafsu. Dalam erti kata lain hawa nafsu meliputi kekikiran dalam melepaskan harta kekayaan demi agama, tidak sanggup mengorbankan waktu istirehat atau riadah, risau meninggalkan anak isteri untuk pergi menyebarkan risalah Islam di kampung-kampung dan desa serta pendalaman, tidak sanggup kehilangan kenyamanan udara dalam kenderaan pacuan empat roda untuk berjalan kaki meredah hutan belantara bertemu dengan penduduk asli yang tidak pernah mengenal siapa tuhan mereka. Umat Islam wajib berubah membentuk jemaah yang tidak pernah mengenal erti penat lelah, tidak risau dengan taraf papa kedana dengan menghabiskan harta kekayaan demi agama. Segala yang dimiliki seseorang muslim adalah hanya sebuah amanah dari Allah swt, ianya hak mutlak kepunyaan Allah swt, apabila tiba masanya Allah swt akan ambil kesemuanya. Tidak perlu takut menghadapi kekurangan kerana Allah swt akan memberi ganjaran dan melipat gandakan segala sesuatu yang dibelanjakan di jalanNya, maka berjuanglah demi Islam mengikut lunas-lunas yang pernah diamalkan oleh Rasulullah saw dan para sahabat ra.
Post A Comment:
0 comments: