KLANG, 10 JAN : Kerajaan Selangor hari ini membayangkan Ahli Exco Kerajaan Negeri Datuk Dr Hasan Ali akan dilucutkan semua jawatan dalam Kerajaan Negeri Selangor secepat mungkin susulan pemecatannya daripada Pas , kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Tan Sri Khalid berkata beliau menjangka menerima nama pengganti Hasan daripada pimpinan Pas hari ini sebelum mengadakan pertemuan dengan Sultan Selangor Sultan Sharafudin Idris Shah Jumaat nanti.
"Kerajaan Negeri masih belum menerima keputusan bertulis (daripada Pas). Boleh jadi hari ini kita akan menerima beberapa keputusan yang dibuat oleh Pas. Jadi pada saya perkara ini perlu kita terima hakikat bahawa Pas sebagai sebahagian daripada Pakatan Rakyat mempunyai kuasa untuk menentukan siapa wakilnya dalam Exco," kata beliau.
"Walaupun tidak mempunyai kuasa mutlak, tapi Pas boleh mencadangkan dan menasihatkan Menteri Besar (tentang pengganti Hasan) dan (saya) akan menerimanya serta minta perhatian daripada Tuanku. Kalau diperkenan barulah dapat menerima ahli exco yang diubah supaya mengangkat sumpah," tambah beliau.
Khalid berkata pengguguran Hasan sebagai Exco Agama, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam adalah selaras dengan pemecatannya daripada Pas.
"Ini berlaku, bukan sahaja dalam Pakatan Rakyat tetapi (dalam) BN pun ia berlaku, umpamanya apabila berlaku pertukaran Presiden MCA dan MIC. Ia mungkin sesuatu yang baru bagi PR tapi ia sudah selalu berlaku dalam BN,"katanya.
Khalid mengulangi gesaan supaya Hasan meletak jawatan secara "gentleman," supaya tidak perlu diambil tindakan menggugurkan beliau sebagai Exco Kerajaan Negeri.
"Saya sebagai Menteri Besar, menasihatkan 'as a gentleman' kalau kita tidak diterima oleh parti kita... jadi lebih baik (letak jawatan). Saya diberitahu dia (Hasan) tidak diterima, maknannya saya tidak boleh menerima,"ujar Khalid.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini mengumumkan Hasan dipecat kerana tindak tanduknya didakwa telah merugikan parti komponen Pakatan Rakyat itu.
Antara lain, Hasan telah membidas perhimpunan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim bersabit tuduhan liwatnya yang diadakan di Mahkamah Tinggi Jalan Duta semalam. Sebelum itu beliau telah memohon maaf kepada kepimpinan parti kerana mempersoalkan perjuangan Negara Berkebajikan yang didokong Pas bagi menggantikan Negara Islam.
Susulan kritikan Hasan terhadap perhimpunan anjuran PKR itu, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menggesa pimpinan Pas mengambil tindakan terhadap Hasan kerana dikatakan membawa agenda UMNO.
Hasan melahirkan rasa kesalnya, beliau dipecat semata-mata kerana isu Anwar.
Post A Comment:
0 comments: