(HB)
Kebelakangan ini Islam diserang dengan mengetengahkan masalah berkaitan wanita. Isu besar yang timbul ialah masalah hijab atau tudung atau burkah. Lelaki memberikan banyak komen berkenaan hal ini. Namun jika ada wanita-wanita yang beriman dan beramal soleh mereka dapat memberikan jawapan dan mereka tidak akan terjerat dalam hal-hal kompleks. Mereka boleh menjelaskan bahawa arahan Al-Qur’an adalah untuk menjaga maruah wanita, untuk mengangkat martabat wanita dan bukan sebagai penjara atau kurungan.
Lihatlah keadaan mereka itu (penentang Islam terutamanya di Negara-negara Barat). Dari satu segi mereka memberikan kata-kata yang menyebut Islam ada unsur paksaan, kekerasan, tetapi dari segi yang lain mereka sendiri campurtangan dalam hal peribadi orang lain. Jika ada wanita yang memakai tudung, memakai burkah, atau menggunakan hijab, tanyakan kepada mereka adakah ini menyusahkan kamu? Hari ini ada wanita Islam yang tidak memakai tudung dan Islam tidak menghukum mereka serta tidak ada undang-undang untuk menjatuhkan hukuman. Tetapi orang yang ingin mengamalkan ajaran agamanya iaitu memakai tudung, apa hak penganut agama lain ke atasnya dengan mengarahkan agar dibuat satu undang-undang keras supaya mereka jangan memakai tudung, jangan menggunakan tudung atau jangan menutup kepala. Nanti esok mereka akan mengatakan pakaian kamu ini tidak bagus, jangan pakai seluar panjang, pakailah ‘frock’ atau jeans dan yang seumpama dengannya. Kemudian mereka akan mula mengkritik lagi dengan mengatakan, pakailah gaun yang lebih pendek, atau pakailah skirt pendek, kemudian mereka akan mengatakan ‘janganlah pakai apa-apa, itu lebih baik’.
Mereka sebenarnya tidak ada hak untuk mempermainkan maruah seorang wanita. Wanita Islam yang beriman dan beramal soleh boleh mengatakan ‘siapa kamu yang cuba campurtangan dalam urusan peribadi seseorang?’ Katakan kepada mereka ‘ini juga merupakan satu bentuk kebebasan.’ Bentuk pakaian adalah hak atau urusan peribadi. Tetapi oleh kerana tampuk pemerintahan ada pada mereka jadi di dunia hari ini, cara mereka yang berjalan. Sebab itu mereka mengeluarkan arahan-arahan yang tidak patut dan beranggapan bahawa ‘kami telah membuat jasa yang besar.’ Jadi, wanita Islam harus menjaga maruah mereka dan mereka perlu menjawab kritikan seperti ini. Bersedialah untuk itu.
Sayang sekali, ada juga beberapa wanita Islam juga yang terperangkap dengan perkara yang kompleks. Ada yang mengatakan bahawa seorang wanita berkata ‘kalau anak saya tidak memakai tudung, dan dia pakai jeans atau jenis pakaian yang lain, jangan kata apa-apa terhadap dia, dia amat bersopan santun kerana dia tidak berkawan rapat dengan lelaki. Biar dia bebas, dia lebih tahu mana yang baik dan mana yang buruk.’
Ini merupakan satu didikan yang memberi kerosakan kepada anak-anak. Jika hari ini mereka tidak berkawan, esok boleh saja berkawan. Kalau hari ini tidak berbuat keburukan, mereka akan mengambil faedah dari kebebasan itu dan akan terjerat dalam keburukan. Jika mereka bebas, tahu mana baik dan buruk, dan mereka bebas dari hal ini iaitu tidak patuh terhadap arahan Islam atau tuntutan Al-Qur’an, maka seterusnya mereka bebas juga dari agama, bebas dari peraturan agama.
Jika kita masuk dalam mana-mana kelab keduniaan, keahlian di dalamnya memerlukan syarat-syarat dan tuntutan, jika tidak dapat menyempurnakannya, maka keahlian akan tamat. Begitu juga dalam urusan agama, kita ada ikatan dengan Tuhan. Satu perjanjian bai’at. Jika arahan yang begitu jelas pun mereka tentang, dan tidak mahu mengamalkan perintah tersebut, apa lagi perintah yang lain? Dan yang paling penting ialah bagaimana status keahlian kita dalam agama tersebut?
Dengan kurnia Allah dalam Islam ramai juga wanita-wanita yang berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan. Jika tidak ada dalam wanita yang sudah besar, pasti kelihatan pada anak-anak wanita muda yang bersih dari perbuatan munafik yang tidak melakukan sebarang jenis kemunafikan. Mereka berusaha untuk memakai tudung dan menjaga rasa malu.
Apapun, tudung merupakan hukum Islam dan merupakan keagungan wanita Islam, juga lambang kesucian mereka. Kaum wanita harus menegakkannya. Tetapi harus ingat di samping tudung, baju yang dipakai di bawah harus longgar. Perintah Allah ialah jangan memperlihatkan kecantikan. Ada anak-anak gadis yang kadang-kadang kelihatan, mungkin mereka membuat reaksi yang mengatakan kenapa kami dilarang dari memakai tudung? Tetapi pakaian mereka, mereka memakai jeans ketat dan blaus. Tudung seperti ini tidak mendatangkan apa-apa faedah, itu adalah munafik. Tudung adalah mengamalkan sistem menutup aurat dan mesti disertai dengan ketakwaan.
Memakai tudung berlaku pada setiap zaman dan setiap agama mengamalkannya. Dalam Al-Qur’an ada disebut kisah dua orang wanita pada zaman nabi Musa a.s, mereka terus berdiri dan tidak memberi minum ternakan mereka, mereka berbuat demikian adalah kerana menutup aurat dan ada rasa malu, ‘apabila kaum lelaki selesai barulah kami akan maju’.
Jadi, fahamilah bahawa malu itu bahagian daripada iman. Wanita-wanita Kristian pada awalnya juga bertudung, mereka memakai pakaian yang menutup tubuh. Dalam kitab Injil juga ada beberapa ayat yang menyebut ajaran tentang bertudung. Jika sekarang wanita-wanita Kristian tidak bertudung yang apabila melihat mereka kamu begitu teruja, mereka itu sedang melupakan ajaran agama mereka. Jika mereka ingat ajaran dan beramal dengannya, maka semua keburukan yang ada pada mereka akan berakhir. Justeru itu, wanita-wanita Islam diseru supaya jangan mencontohi perbuatan melupakan ajaran sendiri.
Di sini diberikan rujukan daripada kitab Injil mengenai ajaran bertudung agar pengkritik-pengkritik Islam dapat menyedari memakai tudung bukan hanya terdapat dalam ajaran Islam.
Dikatakan “Seorang perempuan janganlah memakai pakaian laki-laki dan seorang laki-laki janganlah mengenakan pakaian perempuan, sebab setiap orang yang melakukan hal ini adalah kekejian bagi TUHAN, Allahmu. (Ulangan 22:5).
Kemudian dikatakan lagi “kemolekan adalah bohong, dan kecantikan adalah sia-sia, tetapi isteri yang takut akan TUHAN dipuji-puji.” (Amsal 31:30).
Dikatakan lagi ‘demikian juga hendaknya perempuan. Hendaklah ia berdandan dengan pantas, dengan sopan dan sederhana, rambutnya jangan berkepang-kepang, janganlah memakai emas atau mutiara ataupun pakaian yang mahal-mahal, tetapi hendaklah ia berdandan dengan perbuatan baik seperti yang layak bagi perempuan yang beribadah’. (1 Timotius 2:9-10)
Kemudian dikatakan lagi ‘tiap-tiap laki-laki yang berdoa atau bernubuat dengan kepala yang bertudung, menghina kepalanya, tetapi tiap-tiap perempuan yang berdoa atau bernubuat dengan kepala yang tidak bertudung, menghina kepalanya, sebab ia sama dengan perempuan yang dicukur rambutnya, sebab perempuan yang tidak mahu menudungi kepalanya, maka haruslah ia juga menggunting rambutnya, tetapi jika bagi perempuan adalah penghinaan, bahawa rambutnya digunting atau dicukur, maka haruslah ia menudungi kepalanya. Sebab laki-laki tidak perlu menudungi kepalanya, ia menyinarkan kemuliaan Allah, tetapi perempuan menyinarkan kemuliaan laki-laki.’ (1 Korintus 11:4-7).
Jadi, mereka ini membuat kritikan terhadap Islam. Selepas melihat semua ini wanita Islam semestinya menjadi semakin kuat. Menjadi lebih teguh bahawa kamu seorang yang mengamalkan ajaran Islam yang begitu cantik dan berhubung dengan Tuhan yang Hidup sedangkan masyarakat Barat telah melupakan ajaran agama mereka. Jadi, katakan kepada mereka ‘sebagai ganti memperkatakan yang buruk terhadap kami, sebagai ganti menulis perkara yang boleh menjatuhkan maruah kami dan sebagai ganti membuat undang-undang terhadap kami lebih baik kamu perhatikan diri sendiri dan sebagai ganti menyuruh supaya kami menayangkan kepala yang dengan senang hati kami tutup, berdasarkan ajaran kamu sendiri, suruhlah wanita-wanita kamu menutup kepala mereka.’
Allah telah memerintahkan manusia lelaki dan wanita untuk menjauhi keburukan. Lelaki lebih awal mendapat arahan berbanding wanita untuk menundukkan pandangan. Dan oleh kerana lelaki lebih nakal dan kurang rasa malu berbanding wanita, sebab itu wanita juga diperintahkan untuk menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Walau bagaimanapun, disebabkan fitrat seorang lelaki, adalah lebih baik bagi kaum wanita agar jangan memperlihatkan kecantikan mereka agar dapat terhindar dari pandangan lelaki yang dibuat tanpa ada rasa takut.
Seorang ulama pernah menjelaskan “Seperti orang-orang Eropah yang tegas dalam menyuarakan ‘jangan bertudung’, ini adalah sama sekali tidak sesuai. Kebebasan wanita seperti ini adalah akar perbuatan yang memalukan. Lihat keadaan akhlak rakyat negara-negara yang mengamalkan kebebasan seperti ini. Jika dengan kebebasan dan ‘jangan bertudung’ ini telah menimbulkan perasaan malu dan ramai yang menjadi suci, maka kita akan akur bahawa kita salah anggap terhadap mereka. Tetapi keadaan ini memang amat jelas apabila ada lelaki dan gadis muda, juga ada kebebasan dan tidak bertudung, lihat betapa bahayanya hubungan di antara mereka. Pandangan berahi dan keinginan yang kuat akan menewaskan kebanyakan insan. Dan lagi, keadaan di mana terdapat sistem menutup aurat pun terjadi perbuatan yang memalukan, adakah dalam suasana kebebasan begitu tidak akan berlaku apa-apa?”
Dapat diperhatikan kebanyakan tempat di dunia amalan memakai tudung semakin hilang yang seolah-olah ia tidak lagi wujud dan kesannya kerosakan yang amat dahsyat berlaku, semua orang melihat dengan jelas semua ini namun mereka tidak perasan terhadap malapetaka yang sedang berlaku. Ibu bapa yang tidak beramal dan akibat kecuaian mereka, anak-anak keturunan mereka sedang terjun ke dalam jahannam dan tidak ada yang pedulikan mereka. Beban ini yang berlaku di dunia secara berterusan dan timbul di fikiran orang yang prihatin jika orang-orang Islam yang peka tidak mengambil langkah untuk mempertahankan perintah Tuhan dengan segera, keadaan ini pasti akan bertambah buruk lagi.
Ada beberapa wanita beranggapan bahawa jika kami bangkit dari dunia yang mengenakan pemakaian tudung, dan pergi bertemu dengan teman-teman sambil memakau tudung, mereka itu akan mengatakan ‘ini untuk hari kemudian, dia gila, dia sudah gila, adakah zaman ini untuk memakai burkah? Hal ini jugalah yang menyusahkan kaum lelaki.’
Anak-anak yang hidup zaman sekarang juga dipengaruhi oleh satu pemikiran yang merisaukan berkenaan dengan rambut kepala mereka. Mereka menganggap bahawa menutup rambut kepala adalah satu perbuatan yang amat kolot (ketinggalan zaman). Oleh sebab itu mereka mengambil langkah menuju Allah dengan separuh hati dan bukan dengan sepenuh hati. Sebenarnya mereka ini sedang mengatakan ‘oh Tuhan! Terimalah kami dalam keadaan memakai selendang tetapi dengan cara sebagaimana orang Yahudi memakai topi kecil di belakang kepala mereka. Jadi, engkau terimalah langkah kami yang separuh ini’. Namun, jika kamu membuat semua ini adalah untuk Tuhan, ini benar-benar tidak patut. Perhatikan hal ini, adakah saya ini ambil peduli terhadap Tuhan atau manusia?
Jadi, oleh kerana dalam masyarakat hari ini mereka sedang menanam benih kebencian untuk menentang Islam, mereka berusaha untuk melahirkan taufan kebiadaban, semua wanita Islam dituntut satu semangat iaitu sebagai ganti takut kepada manusia, umumkan kepada setiap mereka, berapa banyak pun peraturan yang kamu hendak buat, kamu tidak akan dapat melepaskan ajaran yang cantik ini dari hati kami, dari wajah kami, dan juga dari amalan kami, dan jika kamu ingin pergi jauh dari agama kamu, melarikan diri dari mazhab kamu dan sedang menuju jurang kemusnahan maka kami tidak mahu jatuh bersama-sama ke dalam jahannam itu malah kami berdoa semoga Tuhan menyelamatkan manusia dari akibat buruk hasil perbuatan mereka. Kemarilah dan ikutlah bersama-sama kami. Dan bersama-samalah dengan kami dalam mengamalkan perintah Allah dan berusaha untuk mendapatkan keredhaan-Nya kerana di situlah ketenangan hati kamu dan kehidupan keturunan kamu.
Adalah diharapkan setiap wanita Islam yang ada semangat, setiap kali timbul dalam hati mereka perasaan ragu-ragu terhadap hukum Tuhan, mereka akan membuangnya dengan segera dan mereka akan termasuk Muslimat sejati, Mukminat, Qanitat, Taiyibat dan ‘Abidat. Semoga demikian hendaknya. Allah Maha Pemelihara dan Maha Penolong.
Post A Comment:
0 comments: