Wakil penduduk, Haji Abdul Manan Kasmuri berkata, mereka membuat laporan ini akibat tidak berpuas hati dengan tindakan dua kumpulan ini kerana menyalahi undang-undang kerana Hindraf merupakan satu pertubuhan yang haram yang tidak diiktiraf oleh kerajaan atau mana-mana badan berkanun.
"Mengapa mereka nak buat di Jalan Kebun sedangkan di sini tidak ada seorang pun penduduk berbangsa India. Jadi apa maksud dan tujuan mereka datang ke Jalan Kebun. Kami juga tidak faham dengan tindakan pihak PAS dan PKR yang membawa satu pertubuhan haram yang tidak diiktiraf untuk membuat program dan aktiviti di Jalan Kebun.
Sekarang, tindakan Hindraf ini menyusahkan dan menganggu keamanan kampong Jalan Kebun. Sejak saya duduk di sana sejak 60 tahun lepas, inilah kali pertama sebuah pertubuhan haram masuk ke kampong ini untuk memporak-perandakan kampung yang sekian lama aman dan damai ini," ujarnya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam Polis Seksyen 9, Shah Alam.
Tambahnya, penduduk kampung bersedia dan tidak ada apa-apa masalah jika pihak PAS atau PKR yang membuat program atau aktiviti di sana, sebaliknya tidak dapat menerima kehadiran HINDRAF, pertubuhan haram yang sengaja membuat huru-hara di Jalan Kebun.
Seorang lagi wakil penduduk, Shaari Basri berkata, laporan polis ini khusus untuk Hindraf kerana penduduk Jalan Kebun tidak dapat menerima kehadiran Hindraf di Jalan Kebun.
"Jalan Kebun 100% orang Melayu. Tidak ada orang India, jadi mengapa mereka buat program yang akhirnya menimbulkan provokasi di Jalan Kebun.
Mereka (Hindraf) yang memulakan provokasi ini, mengibarkan bendera Hindraf di waktu Maghrib, mnganggu keamanan di waktu kita nak berbuat ibadah," ujarnya yang nyata kecewa dengan sikap Hindraf yang tidak tahu menghormati perasaan orang kampung.
Tambahnya, jangan menyalahkan orang kampong atas apa yang berlaku di Jalan Kebun kerana yang memulakannya adalah pihak Hindraf.
"Penduduk Jalan Kebun tidak kisah kalau PKR atau PAS yang membuat aktiviti di sana, kita tidak akan kacau kerana kalau kita buat program pun, mereka (PAS dan PKR) tidak akan kacau. Sehubungan dengan itu, penduduk kampong mengharamkan kumpulan Hindraf untuk mengadakan apa sahaja program atau aktiviti di Jalan Kebun," ujarnya lagi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob menegaskan, pihak Polis menafikan dakwaan pihak tertentu yang mendakwa kononnya pasukan keselamatan itu bersekongkol berhubung insiden pergaduhan dalam satu program ceramah yang dianjurkan oleh Hindraf dan sebuah pergerakan yang dikenali Asalkan Bukan UMNO (ABU) di Jalan Kebun, di sini Sabtu lalu.
Dakwaan itu tidak berasas sama sekali kerana tanggungjawab pihak Polis adalah untuk memastikan keselamatan awam, bukannya menghuru-harakan keadaan seperti yang didakwa.
Malah, beliau menyatakan pihak penganjur sebenarnya tidak memaklumkan kepada polis untuk mengadakan program berkenaan yang turut di hadiri Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin.
"Kita hanya menerima maklumat mengenai program tersebut diadakan selepas pihaknya mendapat laporan wujudnya kekecohan di lokasi program itu diadakan pada malam Sabtu itu. Sebaik sahaja polis tiba ditempat kejadian, barulah keadaan terkawal.
"Justeru, kita ingatkan mana-mana pihak yang mahu mengadakan program, perhimpunan, ceramah atau sebagainya selepas ini, sila maklumkan kepada polis terlebih dahulu supaya bagi memastikan tidak wujudnya sebarang perkara yang boleh menganggu keselamatan awam.
"Penganjur juga perlu sedar dan prihatin mengenai persekitaran serta sensitiviti masyarakat tempatan di tempat-tempat mereka ingin adakan program termasuklah kehadiran penceramah itu sendiri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Post A Comment:
0 comments: