
SHAH ALAM, 21 DIS : Di sebalik pelbagai kritikan dan tohmahan terhadap Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa yang dilontar oleh pimpinan kanan Pas, seorang naib presiden parti itu tampil menggesa supaya kemelut itu diselesaikan menerusi musyawarah.
Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menyarankan musyarawah berasaskan formula 'akur dan patuh', di mana Hasan dan Nasaruddin bersetuju menerima konsensus yang dicapai.
" Bukan setakat isu Datuk Hasan… semua perkara yang melibatkan dalaman parti kita bincang dan bentang dalam mesyuarat. Kalau ada pihak yang tidak mematuhi keputusan mesyuarat, itu dinamakan masalah. Musyawarah merupakan kaedah terbaik dalam parti,"kata beliau kepada AntaraPos.com.
"Prinsipnya semua pihak pimpinan tertinggi dan bawahan perlu akur dengan keputusan-keputusan yang dibuat oleh parti. Itu saja formulanya," tambah Salahuddin yang menekankan keperluan Pas untuk kekal utuh.
Komen beliau menyusul beberapa jam selepas seorang lagi Naib Presiden Parti Mahfuz Omar menggesa Hasan untuk keluar daripada Pas jika tidak bersetuju dengan dasar-dasar parti itu.
Antara lain, Hasan semalam mempertikaikan konsep Negara Berkebajikan sebagai paluan perjuangan Pas yang baru dan menggesa agar parti itu kembali kepada matlamat asal penubuhannya.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman semalam mendakwa bekas Timbalan Presiden Nasharudin Mat Isa dan Datuk Hasan Ali menolak usaha yang dibuat pucuk pimpinan parti.
Bagaimanapun kenyataan itu disanggah oleh Hasan yang mengesahkan beliau menemui wakil pimpinan pusat seminggu lalu untuk berbincang mengenai isu berkenaan.
Hasan dan Nasaruddin menegaskan mereka tidak ada niat sama sekali untuk menyertai Umno sebagaimana yang cuba digambarkan oleh Setiausaha Agong parti Datuk Mustafa Ali.
Kedua-dua pemimpin itu bagaimanapun menegaskan bahawa Pas sebagai organisasi Islam, harus konsisten dengan “wajah Islam” dan tidak meminggirkan al-Quran dan Hadis.
Post A Comment:
0 comments: