November 28, 2011 4:35 pm


KONGRES Nasional PKR 2011 semalam melabuhkan tirainya setelah 3 hari berkampung di Johor Baharu. Tidak banyak kejutan yang dapat dilihat melainkan persoalan-persoalan biasa yang tidak banyak jauh berbeza dengan mana-mana persidangan dimana PKR terlibat.
Ada tidak ada yang menjadi buah mulut pun ialah ‘keterlangsungan’ Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Mat Akin membangkitkan soal meminda perlembagaan Malaysia untuk menetapkan hanya orang melayu yang boleh menjadi Perdana Menteri.
Walaupun bertujuan untuk menyindir UMNO tetapi dikalangan rakan komponen Pakatan Rakyat terutama DAP menafsir kenyataan itu sebagai ‘kesinambungan’ dari ikrar Timbalan Presiden PKR, YB Azmin Ali untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri – seolah wujud kebimbangan bahawa DAP dan PAS tidak akan menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat berjaya merampas Putrajaya nanti.
Selain dari itu, penulis secara peribadi tidak melihat banyak perkara baru yang dibincangkan walaupun dikhabarkan bahawa ini adalah persidangan terakhir sebelum pilihanraya umum ke-13 berlangsung.
Pada pendapat penulis, Kongres Tahunan ini adalah peluang untuk PKR melihat semula kelemahan dan kekuatan diri dan tahap persediaan sebelum pilihanraya umum berlangsung. Yang banyak penulis baca dan lihat ialah keyakinan-keyakinan yang tidak bersandarkan kepada fakta dan penilaian semasa.
Perlu juga diperdebatkan, setakat mana PKR bersedia menghadapi pilihanraya umum tanpa Datuk Seri Anwar yang berhadapan kemungkinan dipenjarakan atas tuduhan meliwat Saiful Bukhari.
Walaupun PKR berjaya menempuhi 2 pilihanraya umum (1999 dan 2004) tanpa Datuk Seri Anwar diluar, keadaan itu adalah jauh berbeza dengan sekarang. Barisan kepimpinan ketika itu jelasnya adalah perintis awal gerakan reformasi sementara majoriti kepimpinan sedia ada adalah terdiri daripada generasi kedua PKR yang lahir daripada gerakan yang pertama.
Walaupun kelihatannya sama tetapi jelas berbeza. Tambahan pulak PKR hari ini adalah cantuman idealogi dengan Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) yang dibubarkan. Semangat reformasi itu kalau pun masih ada tidaklah sesegar yang lama.
Jadi perlunya perbincangan yang lebih meluas dikalangan perwakilan mengenai hala tuju PKR dalam menempuh badai pilihanraya umum yang akan datang tanpa Datuk Seri Anwar disisi. Kekuatan PKR hari ini semata-mata bergantung kepada aura dan ketokohan Anwar, tanpa itu, besar kemungkinan prestasinya tidak lagi sebaik 2008.
PKR juga masih lagi belum mempunyai jawapan untuk Sabah, kerusi mana, parlimen mana yang termasuk dalam percaturan untuk dikuasai dalam perjalanan ke Putrajaya. Krisis kepimpinan negeri yang pernah meledakkan dunia politik negara, sudah sepenuhnyakah diselesaikan?
Semua inilah yang sepatutnya menjadi tajuk utama perbahasan. Tidak salah untuk membincangkan mengenai keadaan semasa seperti pendedahan skandal National Federation Cooporation (NFC) yang menguasai majoriti perbahasan, tapi ada agenda lebih utama yang patut didahulukan.
Kesimpulan penulis, Datuk Seri Anwar sudah siap sedia menjadi Perdana Menteri tapi PKR masih jauh dari sasaran untuk mengatasi DAP dalam soal penguasaan kerusi di Parlimen, seterusnya mencetuskan persoalan, siapa selepas Anwar?
Axact

Axact

Vestibulum bibendum felis sit amet dolor auctor molestie. In dignissim eget nibh id dapibus. Fusce et suscipit orci. Aliquam sit amet urna lorem. Duis eu imperdiet nunc, non imperdiet libero.

Post A Comment:

0 comments: